Memorandum itu yang ditandatangani Yang Dipertua Agung PAS, Yusof Rawa bertarikh 19 Februari 1986 turut menuntut agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam yang juga Menteri Dalam Negeri meletakkan jawatan.

Pas juga menuntut agar ke­semua mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akibat Pe­ristiwa Memali itu dibebaskan segera tanpa syarat atau dibawa secepat mungkin ke mahkamah pengadilan

AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 28 Februari 1986 bertajuk “Musa letak jawatan”. Pada 27 Februari 19
AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 28 Februari 1986 bertajuk “Musa letak jawatan”. Pada 27 Februari 1986, Musa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri berkuat kuasa pada pertengahan Mac 1986. 

Melalui memorandum bertarikh 19 Februari 1986 itu juga Yusof turut mempersoalkan ‘Operasi Angkara’ yang dilancarkan oleh polis ke atas penduduk Kampung Memali sehingga mengorbankan 18 orang termasuk empat anggota polis pada 19 November 1985.

Menurut memorandum itu lagi, langkah-langkah dan tindakan oleh kerajaan ke atas rakyat di dalam peristiwa Memali dan kezaliman yang nyata dengan menahan seseorang tanpa dibuktikan kesalahannya, pasti akan mengakibatkan kesan yang buruk kepada negara ini dan ia sangat jelas merupakan suatu perbuatan yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Ternyata bahawa tindakan polis dan Kementerian Dalam Negeri di dalam Peristiwa Memali itu menimbulkan berbagai-bagai perta­nyaan untuk dijawab oleh kerajaan.

“Alasan-alasan yang diberikan bukan sahaja tidak meyakinkan tetapi juga berbentuk propaganda yang gagal sama sekali membawa keadilan kepada mereka yang terbunuh, mereka yang ditahan dan dipenjarakan di bawah ISA” (Memorandum Pas kepada Perdana Menteri 19 Februari 1986).

Menurut S. H. Alattas dalam buku Musa Derhaka? (1986), seminggu selepas memorandum Pas, pada 26 Februari 1986, Musa telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Dr. Mahathir.

Surat setebal tujuh halaman itu juga dikirimkan kepada semua ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Surat Musa itu berbunyi: “Saya telah menyatakan hasrat saya meletakkan jawatan di dalam percakapan kita pada 27 Januari 1986 iaitu sebelum saya bertolak ke Davos, Switzerland. Setelah menimbangkan masak-masak saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Presiden UMNO” ­(S. H. Alattas 1986).

Aziz Zariza Ahmad dalam bukunya Dr. Mahathir Mohamad: Fasa Kedua (1988) menegaskan, Musa adalah tokoh politik Malaysia khususnya tokoh politik Melayu yang boleh dianggap paling unik jika dilihat daripada tindakan-tindakan beliau semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Unik kerana beliau adalah antara satu-satunya orang Melayu dan seorang pemimpin yang sanggup meletakkan jawatan di atas alasan-alasannya yang tersendiri.

“Yang antara lain kerana perbezaan prinsip. Tindakan demikian mungkin boleh dipertikaikan tetapi apabila melihat keadaan yang berlaku di dalam negara akhir-akhir ini, maka dapat dirasakan ada juga perasaan untuk menghormati tindakan yang berani itu.

“Disebabkan kebelakangan ini kita melihat betapa kurangnya pemimpin-pemimpin yang mempunyai moral untuk mengambil tanggungjawab, menerima kesalahan mereka, mengaku kesilapan yang mereka lakukan. Apatah lagi untuk meletakkan jawatan yang memberikan mereka kemasyhuran dan kekuasaan” Aziz Zariza Ahmad 1998: 97).

Antara isu-isu yang membezakan pandangan dan tindakan Dr. Mahathir dan Musa ialah cara insiden Peritiwa Memali dikendalikan pada 19 November 1985 yang kebetulan sewaktu Dr. Mahathir berada di China selain projek pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan kereta nasional, Proton Saga.

“Musa dikatakan begitu kecewa dengan cara tuduhan dan kesalahan kes Memali itu diletakkan kepada beliau. Ia (Musa) menganggap sebagai satu tuduhan bahawa beliau telah memerintah pihak polis menembak penentang-penentang tersebut sesuka hati” (Aziz Zariza Ahmad 1998: 114).

Menurut Aziz lagi, kemampuan Musa untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ekoran berlakunya Peristiwa Memali merupakan suatu pendekatan atau tindakan yang memang mengejutkan masyarakat Malaysia kerana berdasarkan sejarah politik UMNO sendiri tidak ba­nyak melahirkan insiden-insiden sedemikian rupa.

“Apabila Musa melakukan tindakan ini (meletakkan jawatan) di waktu beliau hampir-hampir berada di kemuncak kekuasaan, maka ia merupakan suatu aspek Melayu di dalam membuat penilaian tentang politik moral dalam kepimpinan politik Malaysia” (Aziz Zariza Ahmad 1998: 98).