Penganjuran larian tersebut sebagai simbolik bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan termasuk tajaan daripada beberapa syarikat korporat dan Syarikat minuman malta coklat, Milo.

Larian maraton anjuran Kumpulan Utusan itu dilepaskan secara rasmi oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan ketika itu, Datuk Sabbaruddin Chik tepat pukul 7 pagi di Jalan Raja di hadapan Bangunan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

MUKA depan akhbar Utusan Malaysia memuatkan berita Lebih 11,000
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia memuatkan berita “Lebih 11,000 mengatur langkah penuh sejarah” pada 21 Mei 1989.

Sepuluh kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita, Veteran Junior Lelaki, Veteran Senior Lelaki, Veteran Wanita, Remaja Lelaki dan Perempuan, Kategori Khas dan Peserta Pelajar Sekolah Menengah dan Rendah melibatkan perlumbaan antara 5, 7 dan 10 kilometer.

Lebih 500 pelari merupakan pelari antarabangsa dari Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, United Kingdom. Amerika Syarikat, Jerman dan Scotland yang turut menyertai larian anjuran Kumpulan Utusan itu.

Sejak pukul 6 pagi, peserta larian berkumpul mendaftar di dua tempat berasingan untuk permulaan larian iaitu di Jalan Raja berhadapan Bangunan Abdul Samad dan Padang Merbuk, Kuala Lumpur.

Di Jalan Raja, bagi sesi kedua pula, 7,000 peserta bagi kategori Pelajar Sekolah Menengah dan Rendah pula dilepaskan oleh Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu ketika itu, Datuk Khalid Abdullah.

Di Padang Merbuk, Datuk Bandar ketika itu, Datuk Elyas Omar melepaskan peserta kategori Terbuka Lelaki dan Wanita, Veteran Junior Lelaki, Veteran Senior Lelaki, Veteran Wanita, Remaja Lelaki dan Perempuan dan Kategori Khas.

Antara tokoh kenamaan yang menyertai larian itu ialah Timbalan Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah ketika itu, Datuk Khalid Yunus, Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Alex Lee, Prof. Diraja Ungku Aziz dan bekas pelari pecut kebangsaan, Dr, M.Jegathesan.

Kebanyakan peserta menyifatkan larian anjuran Kumpulan Utusan itu memberi makna yang besar dan berharap penganjuran maraton ini akan diadakan pada masa depan.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mei 1989 memuatkan berita “Lebih 11,000 mengatur langkah penuh sejarah” melaporkan buat pertama kalinya Kumpulan Utusan berjaya menganjurkan larian maraton sekaligus mencatatkan sejarah cemerlang dengan penyertaan lebih daripada 11,000 pelari daripada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini termasuk peserta dari luar negara.

Laporan itu memetik, berdasarkan pemerhatian pemerhati, jumlah itu bukan sahaja merupakan satu rekod penyertaan terbesar yang diadakan negara ini, malah penyertaan larian itu turut disertai oleh peserta daripada pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dan rakyat berbilang kaum.

“Sambutan penyertaan yang besar ini menandakan akhbar Utusan Malaysia sekarang tidak lagi dibaca oleh orang-orang Melayu sahaja tetapi ia juga mempunyai pembaca daripada kalangan orang bukan Melayu,”katanya.

Larian maraton itu turut membuka ruang menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia selain tarikan hadiah utama dan cabutan bertuah yang disediakan kepada peserta larian.

Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang utama, kagum dengan sambutan yang disifatkan selaras dengan cita-cita negara untuk melahirkan masyarakat sihat dan cergas.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan