Selepas merdeka, kebimbangan itu terus disuarakan dan untuk mengutip lebih ba­nyak suara secara sistematik, Kongres Ekonomi Bumiputera diadakan pada 1965. Pembukaan kongres penuh bersejarah itu dilaporkan di muka hadapan Utusan Melayu pada 5 Jun 1965 dengan tajuk ‘Kongres Ekonomi bermula’.

Kongres itu membuka lembaran baharu perkembangan ekonomi negara ini apabila cadangan-cadangan untuk memajukan ekonomi golongan bumiputera dikumpul dan di­bin­cangkan. Menurut Arkib Ne­gara, sebanyak 10 kertas kerja dibincangkan dan 70 resolusi diluluskan dalam kongres ini.

Antara resolusi yang pen­ting ialah meminta kerajaan menjenamakan semula RIDA sebagai Majlis Amanah Rakyat (Mara); menubuhkan sebuah Bank Bumiputera Malaysia; menubuhkan sebuah Perbadanan Kebangsaan untuk mengusahakan hasil bumi negara; mengadakan mesyuarat alim ulama; mengkaji undang-undang perniagaan dan perdagangan untuk menyeimbangkan kedudukan bumiputera dengan bukan bumiputera serta menggalakkan bumiputera menubuhkan syarikat besar.

Penubuhan Mara memberi kesan yang besar kepada orang Melayu dan bumi­pu­tera. Menyedari ke­le­mahan bumiputera dalam ekonomi, Mara bertanggungjawab me­nyediakan latihan dan membimbing bu­miputera membangunkan ekonomi mereka melalui pelbagai rancangan dan program.

Abdul Halim Mahmud (2002) menyifatkan kelahiran Mara ibarat “penjelmaan mentari pagi yang membawa sinar harapan kepada bumiputera yang dahagakan kemajuan dan pemba­ngunan”. Hasil resolusi dalam Kongres Ekonomi Bumiputera pertama, Mara dijadikan badan berkanun melalui penggubalan Akta Mara 1966.

Sejak penubuhannya, Mara telah banyak berjasa kepada golongan bumiputera. Dalam bidang pendidikan contohnya, penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi peluang kepada anak-anak bumiputera memperoleh pendidikan berkualiti seterusnya melahirkan ramai tokoh dan cendekiawan bumiputera.

Selain Mara, cadangan untuk mewujudkan Perbadanan Kebangsaan serta menubuhkan Bank Bumiputera adalah antara resolusi yang turut mendapat perhatian. Utusan Malaysia pada 8 Jun 1965 menjadikan kedua-dua cadangan itu sebagai berita utama dalam laporannya tentang penutupan kongres itu.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein berkata, kongres itu diadakan pada waktu yang tepat memandangkan sejak merdeka, kerajaan telah mempersiapkan rakyat, terutamanya bumiputera dengan pelbagai perkara asas seperti sekolah, bekalan air serta kemudahan hidup.

Kata Abdul Razak, setelah buta huruf dibasmi dan rakyat mula mempunyai keinginan un­tuk maju, barulah se­suai diadakan kongres tersebut.

Beliau turut membandingkan kejaya­an penganjuran kongres itu dengan kejayaan Ame­rika Syarikat meng­hantar angkasawan ke angkasa lepas melalui Projek Gemini pada tahun yang sama.

“Kerajaan dan kongres ini telah melancarkan angkasawan ke angkasa lepas ekonomi supaya dapat bumiputera mengambil bahagian yang lebih sempurna, lebih penting dan akhirnya mendapat kejayaan dan kemakmuran yang kita kehendaki.

“Kita telah lancarkan bukannya Gemini bahkan Mara ke angkasa lepas dengan penuh harapan bahawa kapal angkasa lepas kita itu dapat membawa kita kepada kesenangan dan kemakmuran,” katanya dalam ucapan itu.