Keunikan dan kemajmukkan rakyat Malaysia yang hidup dalam sebuah negara dengan pelbagai bahasa, agama dan budaya itulah yang merangsang minat beliau untuk mengkaji sehingga menjadi pakar sejarah Malaysia yang menyamai ketokohan sarjana antarabangsa se­perti Barbara Watson Andaya dan Leonard J. Andaya yang menulis buku sejarah terkenal, History of Malaysia (1982).

Hakikat ini terbukti melalui tesis beliau yang terkenal berjudul The Politics of Extremism in Malays State (1974) yang mengkaji situasi politik masyarakat pribumi di Tanah Melayu. Oleh itu tidak menghairankan apabila nama Kay Kim turut dise­naraikan dalam buku 20 Tokoh Ilmuan (2013) yang terdapat dalam siri Dokumentasi Tokoh Negara yang diselenggarakan oleh Siti Ezaleila Mustafa.

Sebagai seorang ahli sejarawan terkenal, jasa Kay Kim diiktiraf apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Merdeka 2018 anjuran Petronas, Shell dan ExxonMobil dalam kategori Pencapaian Akademik Luar Biasa atas sumbangannya yang cemerlang kepada penyelidikan ilmiah, pembangunan pentafsiran semula sejarah Malaysia dan dedikasi sepanjang hayat dalam pendidikan sejarah.

Laporan Utusan Malaysia pada 3 September 2018 me­nyatakan beliau antara individu yang bertanggungjawab merangka Rukun Negara selepas tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 sebagai alat perpaduan dan penyatuan kaum.

Kay Kim menjelaskan terciptanya lima prinsip Rukun Negara itu adalah disebabkan oleh peranan yang penting dimainkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Ghazali Shafie selepas Peristiwa 13 Mei 1969.

“Ghazali berpendapat kalau negara ini ada ideologi nasional seperti Indonesia (Pancasila) mungkin kejadian seperti 13 Mei tidak akan berlaku. Melalui ideologi tersebut mungkin dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu.

“Ketika kita merangka Rukun Negara, kami mengambil kira apa-apa yang sudah wujud dalam negara ini. Kita meletakkan prinsip pertama, ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’. Tidak kira apa agama mereka anuti, mereka sudah percaya adanya Tuhan!” jelas Kay Kim.

Laporan Mingguan Malaysia pada 17 Jun 2018 turut menyiarkan wawancara dengan Kay Kim bertajuk Perkasakan Rukun Negara yang menggesa kerajaan dan rakyat negara ini supaya mengamalkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi pengikat tali perpaduan kaum bagi membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan di­segani.

“British bukan hanya memelihara sistem beraja tetapi menganggap orang Melayu sebagai ‘rakyat raja’ oleh sebab itu patut diberi hak-hak keistimewaan seperti dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Me­layu.

“Prinsip kedua, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, itu memang amat penting dihayati semua rakyat. Sebagai rakyat, kita wajib menghormati Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia, Raja-raja Melayu di negeri-negeri selain memberikan taat setia demi kepentingan negara,” jelas Kay Kim” (Mingguan Malaysia 17 Jun 2018).

Kepakaran Kay Kim juga kerap diminta memberikan kata-kata pendahuluan kepada 16 buah buku sejarah antaranya Ahmad Nazri Abdullah, Melayu dan Tanah (1985), Fawzi Basri, Cempaka Sari Sejarah Kesulta­nan Negeri Perak (1986), Sherifa Khan, The Making of Modern Negeri Sembilan 1874-1898 (1986) dan Bruce Gale, Politics and Public Enterprise in Malaysia (1981).

Prakata Kay Kim dalam buku Melayu dan Tanah oleh Ahmad Nazri Abdullah (1985) jelas membayangkan mengapa sejarah Malaysia perlu ditulis kembali.

Beliau menyatakan Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu dikuatkuasakan pada tahun 1913 iaitu menjelang Perang Dunia Pertama dan memang diketahui umum. Tetapi, anehnya bagi Kay Kim tidak ramai yang mempunyai pengetahuan tentang asal usul pelaksanaan undang-undang itu.

Kay Kim menyatakan: “Kalau masih ada orang yang merasa ragu-ragu tentang apakah yang dimaksudkan sejarah Malaysia perlu ditulis kembali, kajian Ahmad Nazri ini merupakan satu contoh yang baik untuk meya­kinkan bahawa sememangnya banyak jurang yang harus diisi dalam lembaran sejarah Malaysia.

“Ini sesungguhnya tiada kaitan dengan soal ‘centricism’ bukan soal dari sudut mana kita sepatutnya melihat sejarah tetapi yang lebih penting ialah apakah perkara-perkara dalam sejarah yang sangat mustahak dan oleh yang demikian memerlukan perhatian ahli sejarah.

“Kajian Ahmad Nazri ini juga merupakan suatu usa­ha bernilai untuk memahami perkembangan dalam masyarakat Melayu pada zaman abad ke-20. Amat sedikit diketahui tentang masyarakat Melayu yang sejak kurun ke-19 perlu menghadapi berbagai jenis cabaran akibat pemba­ngunan ekonomi dan wujudnya pentadbiran British di negeri-negeri Melayu” ( Khoo Kay Kim 1984).