Kamaludin Muhammad atau dikenali sebagai Keris Mas bukanlah nama kecil dalam arena kesusasteraan negara. Sekitar 1950-an dan 1960-an, nama Keris Mas cukup dikenali melalui karya cerpennya yang sarat dengan semangat ‘Seni Untuk Masyarakat’.

Sehubungan itu, tidak hairanlah seorang daripada pengasas Angkatan Saste­rawan 50 (ASAS 50) tersebut diangkat sebagai Sasterawan Negara yang pertama pada 26 April 1981 apabila menerima Anugerah Sastera Negara yang julung-julung kali diadakan.

Nama Keris Mas juga tidak asing dengan Utusan Melayu. Beliau pernah bekerja di akhbar ini pada awal 1950-an sebagai wartawan dan pengarang. Sepanjang Keris Mas di Utusan juga, nama ASAS 50 memuncak naik apabila karya anggota dan pendukung angkatan itu sering disiarkan di dalam akhbar ini.

Ahmad Sebi dalam buku Media, Tinta dan Kuasa (1991) mengulas mengenainya dan membincangkan perbezaan pendapat antara Syed Husin Ali dengan A. Samad Ismail. Syed Husin mendakwa kehadiran tokoh ASAS 50 se­perti Keris Mas dan Asraf dalam Utusan memberikan kelebihan kepada ASAS 50 untuk menyebarkan fahaman Seni Untuk Masyarakat.

Kata Syed Husin: “Mereka (tokoh ASAS 50) telah dapat menyebarkan seluas-luasnya idea-idea dan pendapat-pendapat mereka; bukan menerusi penerbitan mereka sendiri kerana mereka tidak mempunyai ini, akan tetapi menerusi majalah Mastika dan mingguan Utusan Zaman” (Ahmad Sebi, 1991).

Kenyataan itu disanggah A. Samad yang berpendapat tidak mungkin ASAS 50 me­nguasai Utusan kerana Utusan ketika itu lebih didominasi golongan berhaluan kiri se­perti Dahari Ali, Hamid Abdul dan Salleh Daud yang pernah terlibat secara langsung de­ngan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Malah, hujah A. Samad, dalam Utusan sendiri ada golongan antisastera yang tidak senang dengan ruang yang diberikan kepada karya sastera dalam akhbar itu ke­rana menurut mereka, ia tidak membantu menambah jualan akhbar.

Namun, sumbangan Keris Mas terhadap perkembangan sastera melalui majalah dan akhbar tidak dapat dinafikan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Keris Mas antara sosok penting yang membantu memesatkan pengeluaran majalah Mastika yang ketika itu kurang mendapat sambutan pembaca.

Utusan Malaysia bukanlah satu-satunya akhbar yang pernah menerima khidmat Keris Mas. Selepas tersingkir daripada Utusan pada 1951, beliau berhijrah ke Pulau Pinang untuk bekerja de­ngan Warta Negara (Ahmad Sebi, 1991). Beliau juga pernah berkhidmat de­ngan akhbar Melayu Raya sebelum kembali kepada Utusan selepas itu.

Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 1956, Keris Mas menganggotainya dan memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Ketua Bahagian Pengarang dan menjadi Ketua Pe­ngarang majalah-majalah DBP seperti Dewan Sastera dan Dewan Bahasa.

Keris Mas lebih menonjol dalam penghasilan cerpen berbanding novel. Cerpen beliau juga mengandungi mesej yang kuat, terutamanya berkenaan kemerdekaan dan kemajuan bangsa. Cerpen pertama beliau yang tersiar di Utusan Zaman, Ubat Merdeka contohnya, menyuntik semangat perjuangan kemerdekaan yang kuat. Begitu juga dengan karya novelnya seperti Pahlawan Rimba Malaya dan Anak Titiwangsa.

Anugerah Sastera Negara diwujudkan dengan arahan Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn ketika menyampaikan Hadiah Karya Sastera 1977 di Rumah Malaysia, Kuala Lumpur. Ketika itu, Tun Hussein mengumumkan Hadiah Karya Sastera akan dihentikan penganjurannya setelah kira-kira tujuh tahun berlangsung.

Menurut Wan Hamzah Awang atau dikenali sebagai Wahba (1981), penghentian Hadiah Karya Sastera bertujuan mewujudkan satu lagi anugerah yang dapat mengiktiraf sasterawan ke tahap yang paling tinggi. Oleh itu, Tun Hussein telah meng­arahkan supaya satu panel Anugerah Sastera ditubuhkan dan empat tahun kemudian, Anugerah Sastera Negara dianjurkan manakala Keris Mas terpilih sebagai penerima pertama, sekali gus memegang gelaran Sasterawan Negara.

Menteri Pelajaran ketika itu, Tun Musa Hitam berkata, seramai 11 sasterawan disenarai pendek untuk anugerah itu dan Keris Mas dipilih kerana beliau adalah yang paling la­yak untuk menjadi teladan kepada penulis muda.