Seramai 14 anak muda Malaysia dari syarikat Premier Composite Technologies diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi itu pada 2011.

Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar di dunia serta tiga kali ganda le­bih besar berbanding menara jam The Big Ben di London.

Rakyat Malaysia, Wan Nazri Wan Aria, 33, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch yang dipertanggungjawabkan menampilkan reka bentuk dan membina menara jam gergasi tersebut.

Wan Nazri yang menamatkan pengajian dalam bidang kejurutera­an awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman terlibat dalam reka bentuk struktur keluli ringan untuk menyokong jam gergasi itu.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Oktober 2011 memuatkan berita bertajuk Menara jam di Mekah punyai sentuhan anak Malaysia melaporkan, Wan Nazri berkata, menara itu memerlukan lightweight steel structure untuk menyokong jam gergasi itu.

Katanya, teknologi Jerman dengan kerjasama kepakaran dari syarikat Premier Composite Technology dari Dubai itu diperlukan bagi memastikan ia dipasang dengan sempurna.

“14 tenaga pakar dari Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji dan umrah.

“Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Pa­lace of Culture and Science di Warsaw, Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat. Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” katanya.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkelipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam. Pembinaan jam itu menggunakan 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu.

Laporan itu memetik, menara jam yang dilaporkan bernilai AS$3 bilion itu siap sepenuhnya pada Februari 2012 sebelum dise­rahkan kepada pemaju dan kontraktornya Kumpulan Binladin pada Mei 2012.

Selain itu, 16 profesional muda Malaysia turut terlibat dengan projek pembesaran dan menaik taraf Masjidilharam yang kini berjalan dengan rancak sejak 2011.

Rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat kejuruteraan antarabangsa, Premier Composite Techno­logies bertugas menyelia 100 pekerja binaan dari Bangladesh, Pakistan, Syria dan Mesir yang terlibat dengan projek berkenaan.

Projek memperluas ruang solat kepada lebih 300,000 meter persegi di Masjidil Haram bagi membolehkan ia memuatkan sekurang-kurangnya 700,000 jemaah pada satu-satu masa.

Anak-anak muda ini turut terlibat menyelia projek pembinaan mahtab iaitu ruang tawaf bertingkat setinggi 13 meter dan selebar 12 meter di sekeliling Kaabah bagi memudahkan jemaah kurang upaya dan warga tua melaksanakan rukun haji.