Menurut buku Jejak Pe­juang: Harimau Mati Meninggalkan Belang (1996) terbitan UMNO Selangor, berita me­nge­nai Kongres Melayu Pertama itu yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru pada 1 Mac 1946 tersebar luas ke seluruh pelosok negeri Selangor.

Kehadiran Pengerusi Kongres Melayu, Datuk Onn Jaafar yang dijadualkan berpidato begitu dinanti-nantikan dan se­gera menarik minat penduduk Kampung Baru sehinggakan berita itu menjadi bualan di masjid-masjid, surau, kelab-kelab dan dari rumah ke rumah.

“Tarikh 1 Mac itu ditunggu penuh debaran. Bangunan Kelab Sultan Sulaiman di Kam­pung Baru menjadi tum­puan. Kelab itu yang dibina oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1905 sebagai tempat pegawai-pegawai tadbir Me­layu berkumpul, berbincang dan beriadah” (Jejak Pe­juang 1996: 21).

Menurut buku Jejak Pe­juang lagi, penduduk Selangor berasa bangga dan bertuah kerana Kongres Melayu Pertama itu akan diadakan di negerinya dan lebih-lebih lagi di Kampung Baru yang didiami penghuninya 100 peratus orang Melayu.

Paling bersejarah, apabila Kongres Melayu Pertama itu yang dihadiri 107 orang wakil dan 56 pemerhati dari seluruh negara telah dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Baginda bertitah, dalam mengharungi sebarang bentuk perjuangan, orang Melayu janganlah lupa menitikberatkan soal keagamaan yang menjadi pegangan hidup setiap masa.

“Sebarang badan atau pertubuhan Melayu besar yang hendak ditubuhkan hendak­lah dimasukkan perkara aga­ma sebagai sebahagian da­­ripada tanggungjawab pertubuhan itu kelak” titah baginda (Jejak Pejuang 1996: 24).

Menurut Ahmad Fauzi Bas­ri dalam Bumi Dipijak Milik Orang (1991), Onn yang dianggap sebagai pemimpin terkemuka Melayu era itu telah memberikan ucapan bersemangat kepada peserta-peserta kongres dalam usaha menggerakkan perjuangan mereka menentang gagasan Malayan Union melalui ucapannya yang bertajuk ‘Menebus Ma­ruah Melayu’.

KONGRES Melayu pertama diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Ia merupakan suatu pe
KONGRES Melayu pertama diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Ia merupakan suatu perhimpunan yang bersejarah orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura pada 1 Mac 1946. 

“Bersatulah sebagaimana be­lum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana kita belum pernah berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadapi bahaya de­ngan bersatu hati. Dengan bersatu itu sahaja akan dapat kita menghadapi masa yang akan datang dengan harapan dan akan menjadi cita-cita kita itu.

“Hadapilah apa-apa yang datang itu dengan hati yang kukuh dan perasaan sabar ser­ta dengan sepenuh-penuh kepercayaan di atas keikhlasan niat-niat dan tujuan-tu­juan kita itu. Insya-Allah pa­da suatu hari kelak kita akan hidup di dalam cahaya sinaran kemerdekaan, sama taraf de­­ngan orang-orang yang merdeka dan menjadi kemegahan kepada diri kita sendiri,” ucap Datuk Onn (Ahmad Fauzi Basri 1991: 147).

Semasa Persidangan Kongres Melayu Pertama inilah bergema dengan saranan peserta yang mahukan ditubuhkan sebuah pertubuhan tunggal yang boleh menaungi seluruh umat Melayu di Tanah Melayu tanpa mengira dari mana asal usul mereka.

Saranan peserta itu diterima oleh Onn melalui amanatnya “…maka bangsa-bangsa lain dunia telah bersatu padu mengadakan satu ikhtiar bagi menyelamatkan dirinya daripada dibinasakan oleh bangsa yang lain serta mengadakan satu ikhtiar bagi membetulkan perkara-perkara yang mendatangkan kesusahan kepadanya dengan tidak payah lagi bermusuh-musuhan (sesama sendiri). Maka daripada ikhtiar itu lahirlah UMNO itu” (Ahmad Fauzi Basri 1991).

Mengenai gagasan Malayan Union, dalam nada sedih dan berkabung Onn mengingatkan orang Melayu tentang malapetaka yang bakal menimpa jika gagasan anjuran British itu tidak ditentang habis-habisan.

“Hari ini kematian bagi ki­ta kerana kuasa raja-raja Melayu kita dihilangkan dan rak­yat Melayu tidak berhak lagi dalam negeri ini,” jelas Onn di­iringi dengan teriakkan Hi­dup Melayu!

Kata-kata Onn itu menye­babkan hampir kesemua perwakilan menangis teresak-esak apabila mendengar berita sedih itu termasuklah penduduk Kampung Baru yang berasa marah dengan sikap British yang hendak memaksa raja-raja Melayu supaya menerima dan menandatangani Perisytiharan Perlembagaan Malayan Union pada 1 April 1946.

Pada hari itu jugalah Onn menyeru agar semua orang Melayu berkabung dengan kain putih dililitkan di songkok tanda berdukacita.

“Dalam keadaan berkabung Onn dan Pendeta Zaaba datang menghadap sultan dan raja-raja Melayu yang sudah berkumpul di Hotel Station supaya memulaukan acara itu. Permintaan mereka berjaya” (Jejak Pejuang 1996: 26).

Kesemua sultan dan raja-raja Melayu akhirnya berkenan memulaukan Perisytiharan Ma­­layan Union oleh Gabenor pertamanya, Sir Edward Gent. Apabila melihat sultan dan raja-raja Melayu tidak hadir, Sir Edward Gent terkaku seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku.