Sepertimana Tunku Abdul Rahman menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak dan seterusnya Tun Abdul Razak kepada Tun Hussein, teraju kepimpinan negara tidak tergugat dan mengurangkan ‘politiking’ da­lam kalangan pemimpin UMNO yang bercita-cita .

J. Victor Morais dalam bukunya ‘Mahathir: Riwayat Gagah Berani’ (1982) menyatakan, apabila Tun Hussein membuat pengisytiharan dramatik dengan perletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada 15 Mei 1981, ketika berucap dalam satu mesyuarat UMNO di Johor Bahru, suasana menjadi gempar.

MUKA depan Mastika Oktober 1978 memaparkan gambar Presiden UMNO Tun Hussein Onn dan Timbalannya Dr.
MUKA depan Mastika Oktober 1978 memaparkan gambar Presiden UMNO Tun Hussein Onn dan Timbalannya Dr. Mahathir Mohamad mengaminkan doa di Perhimpunan Agung UMNO Ke-20. Tun Hussein Onn (898 undi)mengalahkan mengalahkan Sulaiman Palestin (250 undi). Dr. Mahathir menang tanpa bertanding. 

Hussein mengejutkan negara dengan kata-katanya yang penuh dramatik: “Saya tidak lagi dan tidak akan menjadi calon Presiden UMNO. Saya juga bercadang hendak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri!” (J. Victor Morais 1982).

Pengumuman itu mengejutkan kira-kira 1,000 perwakilan yang hadir dalam mesyuarat UMNO itu. Ramai antara perwakilan yang kelihatan mengalirkan air mata.

Morais menyatakan, hari itu adalah hari yang paling sedih bagi Tun Hussein, keluarganya malah seluruh negara. Beliau disifatkan oleh banyak pihak sebagai seorang pemimpin yang berani, tenteram dan berseni tetapi ketika membuat keputusan itu Tun Hussein begitu beremosi sehingga beliau terpaksa menyapu air mata sekurang-kurangnya empat kali untuk mententeramkan diri.

“Dengan suara yang terhenti-henti (tersekat-sekat), Hussein memberikan alasan kesihatan sebab utama beliau berbuat keputusan berundur diri sebagai pemimpin negara” (J. Victor Morais 1982: 187).

Menurut Morais lagi, rakyat Malaysia memang tahu beliau telah menjalani pembedahan besar iaitu pintasan jantung koronari di England. Pembedahan itu sangat berjaya tetapi beliau memerlukan masa untuk pemulihan. Akan tetapi, tiada siapa yang pernah menyangka beliau akan bersara daripada jawatannya itu dalam masa terdekat.

“Tun Hussein, seorang pe­mimpin yang tidak mungkir janji, beliau memenuhi janjinya untuk bersara. Beliau dengan sukacitanya telah menyerahkan teraju kepimpinan jawatan Perdana Menteri kepada Dr. Mahathir iaitu orang yang dipilihnya dahulu untuk menjadi timbalannya, enam tahun yang lampau” (J. Victor Morais 1982: 93).

Tun Dr. Mahathir ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Presiden UMNO yang baru pada upacara penutup Persidangan UMNO pada Ahad, 28 Jun 1981, bersyukur kerana sudah dua pemimpin yang mengundurkan diri dengan sendirinya memudahkan peralihan kepemimpinan UMNO dan negara.

“Dahulu Tunku Abdul Rahman dan kali ini Datuk Hussein. Kedua-duanya tidak memaksa kita menerima penggantinya yang dipilih oleh mereka. Allahyarham Tun Abdul Razak menggantikan Tunku kerana Allahyarham Tun Razak adalah diakui oleh semua pihak, baik di dalam UMNO mahupun di luar UMNO sebagai bakal penggantinya” (J. Victor Morais 1982).

Dr. Mahathir menyatakan, di atas kesedaran Tunku sendiri bahawa UMNO dan rakyat sudah menganggap Tun Abdul Razak sebagai orang yang paling layak menggantikannya maka Tun Razaklah yang ditunjuk sebagai pengganti Tunku Abdul Rahman. UMNO pula sebulat suara merestui pemilihan ini.

Kali ini, tiba giliran Tun Hussein pula membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada pucuk pimpinan parti dan menarik diri daripada dicalonkan semula sebelum Perhimpunan Agung UMNO 28 Jun 1981.

“Hari ini saya dipilih sebagai pengganti Datuk Hussein sebagai Presiden parti UMNO. Bagi saya, ini bukan sahaja satu penghormatan dari parti yang telah saya anuti sejak ditubuhkan pada 1946, parti yang tidak berbelah bagi taat setia yang saya tumpukan kepadanya tetapi bagi saya ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar,” akui Dr. Mahathir (J. Victor Morais 1982).

Seterusnya Dr. Mahathir mengakhiri ucapan penutupan Persidangan UMNO 1981 dengan penuh tawaduk memohon hidayah kepada Tuhan agar beliau dapat menyerahkan semula UMNO yang berada dalam keadaan kukuh kepada pemimpin yang akan menggantikannya pada masa akan datang sepertimana pernah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Hussein Onn.

“Saya pohon taufik dan hidayah dari Allah SWT mudahan-mudahan UMNO di bawah pimpinan saya akan berjalan dengan baik seperti UMNO di bawah kepimpinan Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Hussein.

“Mudah-mudahan saya akan dapat menyerahkan UMNO kepada pemimpin yang akan datang dalam keadaan kukuh dan berpadu seperti mana yang telah saya terima. Inilah doa saya kepada Tuhan Rabulalamin dan inilah juga yang saya pohonkan saudara saudari doakan bersama, ” jelas Dr. Mahathir (J. Victor Morais 1982).

Ironinya, semasa diterajui oleh Dr. Mahathir, UMNO bergolak dan pemimpinnya saling berantakan untuk merebut jawatan presiden dan timbalan presiden sehingga berlaku konflik politik dalam kalangan tokoh-tokoh UMNO antara Tan Sri Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kemuncaknya, parti elit itu diisytiharkan sebagai ‘tidak sah’ oleh Mahkamah Tinggi.