Mingguan Malaysia pada keesokannya, tampil dengan tajuk ‘Kondominium runtuh: ramai terperangkap’ melaporkan beberapa orang saksi memberitahu, hanya sebahagian kecil penghuni kondominium mewah di Taman Hillview itu sempat menyelamatkan diri kerana bangunan itu tumbang tidak sampai lima minit.

Lebih menyayat hati apabila operasi mencari dan menyelamat mangsa terperangkap yang memasuki hari kelapan berjaya menemukan seorang wanita yang sedang memeluk erat al-Quran dan seorang lagi sedang mendakap anaknya.

Insiden runtuhan bangunan itu turut mengorbankan anak dan menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Allahyarham Carlos Rashid dan Allahyarham Rozita Abu Bakar.

Mereka adalah antara 24 mayat mangsa tragedi yang ditemukan pada hari tersebut seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 20 Disember 1993.

Penginapan mewah yang mengandungi empat unit kediaman di setiap tingkat itu dipercayai runtuh akibat hakisan tanah di tempat letak kereta di tingkat bawah dan turut mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa kerana kejadian seumpama itu merupakan kali pertama berlaku di negara ini.

Gerakan mencari dan menyelamat mangsa di kondominium yang dibina sejak 1974 itu, turut mendapat bantuan daripada Pa­sukan Penyelamat Perancis, Jepun dan Singapura.

Operasi itu dihentikan sepenuhnya pada 22 Disember 1993 se­-
­telah pihak ber­kuasa berpuas hati tiada lagi harapan untuk menemukan mangsa lain yang terperangkap.

Pengarah Kese­la­matan Dalam Ne­geri dan Ketenteraman Awam, Datuk Ghazali Yaakob berkata, kerja-kerja itu yang dihentikan pada pukul 4.40 petang menemukan sebanyak 57 mayat dengan hanya 38 daripadanya dijumpai dalam keadaan sempurna.

Gerakan yang dijalankan sejak tragedi pada 11 Disember itu turut menemukan 16 cebisan anggota badan manusia dan jumlah mangsa itu termasuk seorang wanita Jepun yang cedera parah ketika dikeluarkan pada hari pertama, tetapi kemudian meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

“Pencarian itu dihentikan setelah pasukan penyelamat sehingga tengah hari menja­lankan kerja-kerja pembersi­han dan mengorek dari bahagian belakang ke depan dan diulangi semula tetapi hasilnya negatif.

“Mula-mula kami menjangka masih ada mangsa yang tertimbus di bahagian belakang, tetapi setelah menggali di sekitarnya tiada mangsa ditemui,” jelasnya.

Keputusan itu juga dibuat setelah mendapat persetujuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet.

Susulan tragedi itu, Anwar mengumumkan beberapa pin­daan undang-undang dilakukan membabitkan banyak kementerian seperti Akta Pemuliharaan Tanah 1960 bagi membolehkan pengawalan aktiviti pembangunan secara keseluruhan di kawasan bukit termasuk pembinaan bangunan.

Selain itu, kerajaan bersetuju penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Tanah 1960 harus dibuat oleh semua negeri supaya tanah bukit diisytiharkan secara selektif sebagai tanah bagi tujuan pemuliharaan.

Anwar malah memberitahu, pindaan juga akan dibuat kepada Perancangan Bandar dan Desa 1976, antara lain untuk memastikan pemuliharaan dan penanaman pokok, pemuliharaan keadaan asal topografi tanah dan penyediaan Laporan Penilaian Perancangan oleh pemaju bagi keseluruhan kawasan yang akan dibangunkan.

Sesungguhnya, tragedi Highland Towers adalah pengajaran mahal bahawa pembangunan yang tidak mengikut peraturan pembinaan, boleh berakhir dengan bencana.