Siri francais ‘Anak Mami’, filem komedi arahan beliau menyerlahkan keistimewaan kehidupan golongan itu di Pulau Pinang iaitu Mami Ja­rum (2002), Anak Mami Kembali (2005) diikuti Nana Tanjung (2006), Nana Tanjung 2 (2007) dan Anak Mami Nasi Kandaq (2016) berjaya mengambil alih suasana santai perayaan de­ngan gelak ketawa dan adegan lucu yang meniru suasana kehidupan golongan itu yang terkenal di Pulau Mutiara.

MAMI Jarum (2002) lakonan Kartina Aziz dan Rita Rudaini.
MAMI Jarum (2002) lakonan Kartina Aziz dan Rita Rudaini.

Selain siri francais ‘Anak Mami’, Razak juga turut menampilkan filem-filem komedi yang memikat ramai seperti Jutawan Fakir (2003), I Know What You Did Last Raya (2004), 7 Perhentian (2004), Otai (2007), 4 Madu (2010) dan Raya Tak Jadi (2011).

Berdasarkan senarai filem-filem Melayu yang ditayangkan pada musim perayaan, tema kekeluargaan, percintaan dan konflik rumah tangga turut menjadi pilihan pengarah dan penerbit menerusi filem antaranya, Suratan Kasih arahan Zulkiflie M. Osman (1996), Layar Lara arahan Suhaimi Baba (1997), Iman Alone arahan Rahim Razali (1998), Nafas Cinta arahan Jailani Abdul Ghani (1990), Syukur 21 arahan Ali Naj­mi (2000), Mendam Berahi arahan Z. Lokman (2001) dan Bilut arahan Bade Haji Azmi (2006).

Namun begitu, filem komedi dan tema kekeluargaan terus mendominasi tayangan filem tempatan sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 22 tahun lalu sebagai hiburan santai untuk peminat-peminat filem Melayu sesuai dengan kemeriahan hari lebaran bertujuan untuk bersuka ria bersama keluarga dan kunjung mengunjung ke rumah sahabat handai.

KOMEDI

Beberapa penga­rah terkenal turut terikut-ikut menga­rah filem komedi untuk tayangan pada musim pera­yaan seperti Mamat Khalid menerusi filem Man Laksa (2005), Diva Popular (Raja Azmi, 2006), Senario The Movie (Ahmad Idham, 2008), Jin Notti (Azhari Mohd. Zain, 2009), Senario Asam Garam (Hatta Azad Khan - 2010), Karipap-Karipap Cinta (Othman Hafsham, 2011), Hantu Bonceng (Ahmad Idham, 2011), Adnan Sempit 3 (Ismail Bob Hasim 2013), Lemak Kampung Santan (Hans Issac, 2013) Mat Tudung (Wan Hafiz 2014), Tembus (Ahmad Idham, 2014), Suamiku Jatuh Dari Langit (Eyra Rahman 2015), Minah Moto (Ahmad Idham, 2017), Qhaliq (Ahmad Idham, 2018) dan Blok 404 (Isma Aizal Yusoof, 2018).

Profesor A. Razak Mohai­deen, Pensyarah Jabatan Skrin, Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam wawancara dengan majalah 35MM Filem Kita Wajah Kita, Bil.2. Tahun 13 September/Oktober 2003 menyatakan, kejayaan beliau menghasilkan filem francais Anak Mami berteraskan budaya hidup masyarakat Mami Pulau Pinang mula membuka mata penglibatan penggiat dan peminat filem tanah air.

Malah filem arahan beliau Mami Jarum dan Anak Mami The Movie mencatat keuntu­ngan besar sehingga mencetuskan fenomena baru dalam kalangan penggemar filem komedi tempatan.

“Dari segi kepuasan, sudah tentu saya belum puas. Bagi saya sambutan penonton sebenarnya telah beri gambaran bahawa karya saya diterima. Ini satu yang membanggakan jika dinilai dari disiplin komunikasi” (A. Razak Mohaideen 2003).

Menurut beliau lagi, penonton boleh dikategorikan kepada dua kelompok. Kelompok pertama penonton yang melihat filem sebagai hasil seni dan kelompok kedua, penonton yang hanya mahukan ia sebagai satu hiburan semata-mata.

Golongan yang pertama bia­sanya mengkaji dari sudut artistik dan nilai filem itu sendiri.

Beliau berpendapat unsur hiburan amat perlu dalam sesebuah filem. Ini kerana masyarakat Malaysia sukakan filem hiburan yang tidak memeningkan kepala semasa menonton dan berkesudahan dengan elemen menggembirakan.

MINAT PENONTON

“Oleh itu saya perlu menarik minat penonton untuk ke pawagam melalui filem hiburan. Ia satu tarikan dan kekuatan kepada industri khususnya filem Melayu.

“Setiap filem saya mempunyai nilai mutu yang mampu menarik perhatian penonton. Filem yang baik adalah filem yang boleh menarik penonton. Apa ertinya sebuah filem sekiranya ia sarat dengan mutu tetapi merugikan (A. Razak Mohaideen 2003:7).

Menurut Hamzah Hussin dalam tulisan sempena 100 Tahun Cinema bertajuk Minda dan Memori yang diterbitkan oleh Suara Finas Julai-Ogos 2001 (Bil.67. Tahun 11), filem komedi mendominasi filem-filem untuk tayangan umum pada musim perayaan kerana ia bertujuan menghiburkan selain bergelak ketawa tanpa membawa mesej yang berat seperti filem cereka umum.

“Filem-filem kita banyak menjurus pada filem komedi kerana kononnya pembikinan filem-filem komedi suatu usaha selamat dan membuat penonton ketawa dalam ke­adaan yang sudah kelaziman, biarpun isian filem komedi itu sentiasa diperdebatkan, namun masih ada filem komedi yang mempunyai ketajaman satira nasional yang sesuai dengan tuntutan dan keperluan masyarakat” (Hamzah Hussin (2001: 6).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan