Dalam wawancara eksklusif buat kali kedua dengan baginda pada 23 April 1984 di Istana Negara menyatakan sepanjang tempoh menjadi ketua negara, krisis Perlembagaan merupakan sesuatu yang amat mendukacitakan dan merunsingkan minda baginda.

Laporan wawancara itu disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 25 April 1984 bertajuk “Saya bawa stail negeri Pahang ke Kuala Lumpur” turut mengimbau situasi ketika berlakunya Krisis Perlembagaan 1983.

Ini disebabkan, ketika krisis itu berlaku baginda pula secara kebetulan diserang sakit jantung menyebabkan Sultan Haji Ahmad Shah perlu berehat sambil memikirkan antara kesihatan dan tanggungjawab besar sebagai Yang Dipertuan Agong.

“Peristiwa yang tidak boleh saya lupakan ialah krisis perlembagaan. Pada masa itu saya pula diserang sakit jantung. Saya kena fikirkan soal kesihatan dan soal negara serta rakyat. Seluruh rakyat sudah berpecah belah seperti ikan kena tuba.

“Saya sudah tentu tidak boleh berdiam diri, otak saya terpaksa berjalan dan berfikir. Apabila saya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur, penyakit saya mula berkurangan, maka saya mula memikirkan secara serius jalan keluar.

“Saya kena fikirkan kedudukan kerajaan (kabinet) yang saya sebagai ketua negara, kedudukan raja-raja dan keselamatan rakyat. Semuanya sama berat. Saya berhubung dengan raja-raja sambil meninjau fikiran pemimpin-pemimpin kaum dan juga Perdana Menteri. Yang merumitkan ialah krisis itu melibatkan parti pemerintah tidak seperti Tragedi 13 Mei dulu yang mana krisis itu dicetuskan oleh musuh negara,” beritahu baginda (Utusan Malaysia 25 April 1984).

Utus surat

Sultan Haji Ahmad Shah juga menyatakan kepada Utusan Malaysia bahawa baginda turut mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan mencadangkan satu formula bagi menyelesaikan Krisis Perlembagaan 1983.

“Beliau (Dr. Mahathir) bersetuju dengan formula saya. Saya pun membawa formula itu kepada Raja-Raja dan akhirnya formula itu dibawa ke Parlimen,” tegas baginda kepada Utusan Malaysia.

SULTAN Ahmad Shah berkata sesuatu kepada Dr. Mahathir Mohamad sejurus turun daripada kapal terbang F
SULTAN Ahmad Shah berkata sesuatu kepada Dr. Mahathir Mohamad sejurus turun daripada kapal terbang F28 TUDM pada 15 Mei 1982. 

Peristiwa itu bagi Sultan Haji Ahmad Shah merupakan suatu teladan kepada semua rakyat Malaysia. Bagi baginda, rakyat sudah faham dengan kedudukan masyarakat majmuk di Malaysia yang sentiasa sensitif dengan perkara-perkara yang menyentuh keperibadian negara.

“Kepada saya krisis ini menunjukkan ketahanan dan kematangan rakyat berfikir. Pihak pemimpin pula telah menunjukkan kewibawaan mereka dan sanggup kembali ke pangkal jalan apabila sesat di tengah jalan.

“Sungguhpun krisis itu sudah tenang tetapi hendaklah dijadikan sempadan kepada semua pihak. Mencetuskan satu-satu krisis adalah senang dalam sekelip mata saja, tetapi mencari jalan penyelesaian adalah sangat susah. Kenalah kita berfikir panjang sebelum mengambil satu-satu sikap yang boleh memberi kesan buruk kepada rakyat. Inilah negara kita, tempat untuk mencari nafkah hidup ataupun sebaliknya” tegas baginda (Utusan Malaysia 25 April 1984).

Perlembagaan

Menurut Penyata Rasmi Parlimen Jilid 1. Bil.45 10 Januari 1984, Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam telah mencadangkan untuk meminda Perlembagaan di Dewan Rakyat.

Akta Perlembagaan (Pindaan 1983) itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Parlimen pada Ogos 1983. Dewan Rakyat pula telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1983 pada pertengahan Disember 1983.

Mengulas kejayaan itu, Musa ketika mencadangkan untuk meminda perlembagaan di Dewan Rakyat pada 10 Januari 1984 bersyukur kerana kerajaan dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu telah berjaya mencapai jalan keluar untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Ini membuktikan bahawa semua pihak menitikberatkan kepentingan rakyat dan negara dari kepentingan-kepentingan lain.

“Ini membayangkan bahawa kita telah meningkat naik ke satu peringkat kematangan dalam proses menghayati Sistem Demokrasi Berparlimen yang kita amalkan dan Institusi Raja Berperlembagaan yang kita pelihara di negara ini” tegas Musa (Penyata Parlimen Jilid 1. Bil.45 10 Januari 1984).