Alhamdulillah - Syukurlah saya kepada Tuhan kerana yang sebenarnya saya tidak berhajatkan suatu berita yang terlebih panjang daripada itu akan tetapi selang tidak berapa lama lepas tersiar cerita keberhentian saya itu ramai orang - kebanyakannya pembaca-pembaca surat khabar - datang bertanya kepada saya sebab kenyataan itu terlampau pendek dan lain-lain pertanyaan lagi.

Saya telah menjawab soal itu dengan mengatakan bahawa apa yang telah disiarkan oleh Warta Malaya berkenaan dengan saya itu sudah lebih daripada patut kerana saya tidak berbuat apa-apa jasa kepadanya sebaliknya saya banyak terhutang budi, mendapat faedah dan keuntungan daripada Warta Malaya terutama sekali daripada budi bahasa, tegur sapa dan tunjuk ajar penguasa agungnya yang termasyhur lagi terkenal baik, daripada pimpinan pengarang-pengarangnya yang bijaksana lagi budiman - pendeknya mustahil saya boleh lupakan apa-apa yang saya telah dapati, pelajari dan jumpai di dalam atau daripada Warta Malaya.

Walau macammanapun Warta Malaya sepatutnya telah menyebutkan sedikit berkenaan dengan cerita-cerita rekaan yang tuan telah karangkan bagi siaran Warta Ahad, Bayangan-bayangan siasat di dalam Warta Jenaka dan lain-lain lagi - demikianlah kata beberapa orang Melayu yang membaca surat khabar-surat khabar Melayu.

Saya tidak layankan pertanyaan mereka itu tetapi saya telah nyatakan serba serbi berkenaan dengan Utusan Melayu dan sekarang bacalah pula kisah perjalanan saya ke negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi pihak Utusan Melayu dan pandangan-pandangan saya di dalam tiga buah negeri Melayu yang permai itu serta jajahan-jajahan dan takluk rantaunya.

Setelah sepuluh hari lamanya saya bersama-sama dengan ibu bapa dan saudara mara saya di Temerloh maka bertolaklah saya ke Bentong. Di dalam jajahan ini bilangan orang Melayu hanya sedikit sahaja tetapi mana-mana yang saya telah berjumpa itu semuanya bergembira dan bersedia hendak menyokong, membantu dan membaca Utusan Melayu.

Dari Bentong saya telah pergi ke Kuala Lumpur kerana hendak berjumpa dengan pengarang Majlis dan berita perjumpaan saya dengannya telah tersiar di dalam keluaran akhbar itu bertarikh 14 April. Kemudian saya telah balik pula ke Bentong dan dari situ saya pun menuju pula ke Raub.

Saya suka menyebutkan bahawa saya telah tinggal di bandar ini selama setahun iaitu dalam tahun 1929 kerana menamatkan pelajaran Inggeris saya. Oleh itu banyaklah kawan-kawan lama saya yang masih ada di sini - ada yang menjadi pegawai, ada yang bekerja sendiri dan ada yang menjadi kerani dan semuanya berjanji akan menyokong dan membaca - Utusan Melayu.

Saya ucapkan terima kasih kepada mereka itu sekeliannya dan saya berharap semangat dan perasaan kebangsaan mereka itu kekal sentiasa ada sebagaimana adanya perasaan hendak makan minum, tidur dan sebagainya pada mereka itu.

Tidak ada pandangan-pandangan yang luar biasa di dalam jajahan ini yang saya patut sebutkan. Lagipun saya tidak sempat melawat rata-rata - hanya saya telah dapat melawat pekan sehari Ceruh iaitu suatu tempat lebih kurang delapan batu daripada bandar Raub. Di sini saya dapati penjual-penjual kain baju, ikan kering dan lain-lain barang keperluan hidup semuanya bangsa asing pada hal penghulu mukim itu duduk lima depa sahaja daripada pekan sehari itu dan pegawai Melayu Jabatan Kerjasama ada di bandar itu.

Di pekan sehari inilah saya telah berjumpa dengan seorang perempuan tua yang menjadi bidan bagi kampung-kampung daerah itu. Saya tumpang makan sirihnya sekapur sambil bertanyakan kisah gobeknya yang dikatakan dipakainya turun temurun daripada nenek moyangnya.

Zaman sekarang hidup terlalu - upah balas bidan cuma dapat seringgit tiga puluh tiga sen sahaja dan kain sehelai - katanya kepada saya.

Tanamlah padi, ubi keladi dan sayur-sayuran banyak-banyak - kata seraya bertanya pula adakah banyak anak cucu. Anak-anak cucu tak kurang - orang-orang sekarang tak berapa rajin bercucuk tanam - pada hal makan nak sedap pakai nak lawa - kata orang tua itu lagi.

Perkataan-perkataannya sungguhpun pendek telah menyebabkan saya berfikir panjang.

Saya akan cuba memikirkan, mencari jalan dan ikhtiar-ikhtiar supaya anak-anak cucu-cucu berguna kepada tanah airnya - kata saya sambil berterima kasih banyak-banyak sirihnya.

Aku doakan mudah-mudahan anak dan maju pekerjaan yang hendak itu - penyudahnya kata orang itu. Maka perkataannya itu menjadi sebesar-besar galakan dan kekuat-kuat perangsang kepada saya.

Saya telah tinggalkan Raub, muka perempuan tua itu terbayang-bayang di mata saya hingga hari ini. Sepanjang jalan dari Raub ke Kuala Lipis hati saya berdebar-debar gembira berasa megah kerana *** *** *** yang luas dan orang-orang Melayu yang serta dengan rumah tangga orang-orang yang cukup lapang, rehat dan sihat.

Di Kuala Lipis waktu saya sampai itu kaum Melayu masih hebat lagi bertengkar dan berbahas berkenaan suatu siaran dalam Warta Malaya - ruangan Hantu Raya berkenaan Persekutuan Melayu di bandar itu.

Kononnya setengah pihak sedang berura-ura hendak mendakwa saya kerana mereka itu percaya yang memakai nama kalam “Hantu Raya” itu adalah saya. Khabarnya banyak ahli Persekutuan Melayu di sini yang betul-betul marahkan saya tetapi lima hari kemudian daripada saya tiba ke bandar itu sekonyong-konyongkan saya telah menerima sepucuk surat daripada setiausahanya menjemput saya memberi syarahan kepada ahli-ahli persekutuan itu.

Jemputan itu saya telah sambut dengan sepenuh-penuh kesukaan bukannya kerana saya pandai bersyarah tetapi ialah sebab dengan jalan itulah saya dapat berjumpa dengan parti kaum Melayu di dalam bandar yang menjadi kepala negeri Pahang supaya dapat saya terangkan hal ehwal dan tujuan-tujuan Utusan Melayu.

Rumah Persekutuan Melayu yang cukup lapang itu telah penuh dengan ahli-ahlinya. Pada malam itu berbetulan pula Al Fadil Al Ustaz Tuan Haji Ismail yang alim yang termasyhur di Pahang telah dijemput hadir kerana bersyarah dalam perkara agama Islam yang maha suci.

Setelah tamat syarahan agama oleh tuan guru yang terkenal baik itu maka saya pun menerangkan dengan sepenuhnya akan tujuan-tujuan saya melawat jajahan-jajahan Pahang. Berkenaan dengan akhbar Utusan Melayu dengan pertolongan Allah Subhanu wataala yang maha kuasa maka banyaklah di antara mereka itu yang berkenan akan tujuan-tujuan dan gerak langkahan akhbar Melayu yang baharu ini serta menzahirkan kesukaan masing-masing dan berjanji mereka itu akan menolong dengan seboleh-bolehnya supaya jaya, maju dan selamat perjalanan Utusan Melayu.

Sekianlah kisah perjalanan saya ke jajahan-jajahan di sebelah barat negeri Pahang dan buat penutupnya saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pegawai-pegawai Persekutuan Melayu Lipis, Encik-encik Abdul Kadir bin Muhammad Said, Salehuddin A.C.L.R, Othman pegawai tanaman, Muhammad bin Busu, Abdul Hamid Setiausaha PSPM, Kamaruddin dan lain-lain lagi yang telah membantu saya mencanangkan perkhabaran dan kenyataan-kenyataan berkenaan dengan Utusan Melayu yang mulai terbit hari ini. Dalam keluaran esok Encik Ishak Haji Muhammad akan menceritakan pula kisah perjalanannya dan pemandangan-pemandangannya di dalam negeri Kelantan dan Terengganu.