Malaysia menamatkan perjuangannya di Sukan Olimpik Rio itu dengan pungutan pingat ter­tinggi negara iaitu empat pe­rak dan satu gangsa yang disumbangkan oleh atlet dalam acara badminton, acara 10 meter platform seirama wanita dan lumba basikal keirin.

Ini adalah hadiah yang terbaik untuk Malaysia ­kerana berjaya membawa pulang paling banyak pingat Olimpik.

CHONG WEI meraikan kemenangan mempertahankan kejuaraan Kejohanan Terbuka Malaysia setelah mengalahka
CHONG WEI meraikan kemenangan mempertahankan kejuaraan Kejohanan Terbuka Malaysia setelah mengalahkan pilihan pertama, Lin Dan di Stadium Badminton Kuala Lumpur pada 10 Julai 2005. 

Sebelum ini, Malaysia mampu menang tidak lebih daripada dua pingat dalam mana-mana Sukan Olimpik. Walaupun pasukan Malaysia tidak membawa pulang sebarang pingat emas, setiap atlet pasukan Olimpik Malaysia harus disanjung di atas kerja keras, kecekalan dan semangat juang mereka.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang juga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye dalam tulisannya di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Ogos 2016 memuatkan berita bertajuk ‘Sukan menyatukan rakyat Malaysia’ melaporkan, jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei pulang sebagai wira Sukan Olimpik Rio 2016 kerana beliau berjuang bersungguh-sungguh dalam semua peringkat perlawanan badminton perseorangan lelaki untuk merangkul perak, iaitu pingat perak ketiga yang dimenanginya selama tiga kali berturut-turut di Sukan Olim­pik.

Tiada siapa di Malaysia yang mampu melakukan apa yang telah dicapai oleh Chong Wei di peringkat Sukan Olimpik.

Dalam tempoh lebih kurang dua minggu temasya itu berlangsung, jutaan melihat per­­kembangan yang paling meng­gembirakan di negara ini ­iaitu rakyat Malaysia kelihatan lebih bersatu padu berbanding beberapa bulan kebelakangan ini kerana ­sama-sama memberi sokongan dan sorakan kepada pasukan Olimpik negara yang bersaing dengan atlet lain terhebat dunia.

Semangat persaudaraan dan keakraban antara rakyat berbilang bangsa di negara ini jelas kelihatan apabila mereka setia menonton dan bersorak untuk Chong Wei beraksi dalam perlawanan separuh akhir dan akhir badminton perseorangan lelaki dan juga pemain-pemain badminton lain ­seperti Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Kebanyakan rakyat Malaysia menangis kegembiraan apabila Chong Wei menewaskan musuh ketat beliau di gelanggang, Lin Dan dari China, dan apabila pe­nerjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat perak, dan pelumba basikal Azizulhasni Awang memenangi gangsa.

Laporan itu memetik, setiap kali pemain badminton Malaysia mendapat mata tambahan atau memenangi perlawanan, jelas kedengaran gema jeritan dan tepukan tangan serentak daripada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, sama ada di rumah, tempat kerja, asrama, kampus, kedai mamak atau restoran.

Ini menunjukkan bahawa sukan mampu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila diketepikan perbezaan dan sama-sama menyokong ahli pasukan Olimpik negara.

Media sosial, yang biasanya digunakan sebagai forum untuk bergaduh, bertukar kata-kata kesat atau melemparkan tuduhan dan fitnah, kini dipenuhi dengan kata-kata positif dan berinspirasi seperti ucapan tahniah, sokongan, motivasi dan galakan daripada rakyat Malaysia semua lapisan masyarakat, latar belakang, warna kulit, agama dan fahaman politik.

Pada 13 Jun 2019, Malaysia dikejutkan dengan berita jaguh badminton itu, Chong Wei secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada arena badminton negara selepas 19 tahun berjuang dalam bidang itu. Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat doktor berkenaan keadaan kesihatannya yang menghidapi kanser hidung.

Masalah kesihatan Chong Wei itu mula menjadi tumpuan selepas pemain berkenaan menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018.

Pada sidang akhbar itu, Chong Wei mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokongnya selama ini dan juga kepada jurulatih Datuk Misbun Sidek atas segala tunjuk ajar yang diberikan sehingga menjadikannya pemain nombor satu di dunia.

Suasana sebak sangat dirasai pada sidang akhbar khas tersebut, antara yang hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Sementara itu, Utusan Online bertarikh 13 Jun 2019 memuatkan berita bertajuk ‘Lin Dan tuju lagu untuk Chong Wei’ melaporkan, pemenang pingat emas Olim­pik Beijing dan London, Lin Dan meluahkan rasa sedih terhadap pengumuman persaraan jaguh badminton negara, Chong Wei dalam sukan itu.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Lin Dan menzahirkan luahan itu menerusi akaun media sosial China, Weibo.

“Memasuki gelanggang ber­seorangan, tiada siapa lagi menemaniku,” lapor portal itu hari ini.

Tambah laporan itu, Lin Dan turut mendedikasikan lagu berjudul ‘Friend, Dont Cry’ yang dinyanyikan penyanyi David Lui dalam bahasa Mandarin kepada pemenang tiga pingat pe­rak Sukan Olimpik itu.

Laporan Utusan Online bertarikh yang sama bertajuk ‘Taufik terkejut Chong Wei bersara’ melaporkan legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat mengakui amat terkejut berhubung pergantungan raket Chong Wei pada usia 37 tahun atas faktor kesihatan.

Bekas pemain nombor satu dunia, Chong Wei secara rasmi mengumumkan persaraan sebagai atlet badminton negara namun berjanji akan terus membantu membangunkan sukan tersebut.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan