Maka itu “berkhidmat dengan Utusan” merupakan satu keistimewaan, kebanggaan dan penghormatan. Utusan Melayu selamanya menjadi sebahagian daripada naratif bangsa dan negara. Saya beruntung memimpin akhbar itu selama enam tahun (1992-1998) mewarisi tugas yang pernah dipikul oleh nama-nama besar dalam dunia kewartawanan Melayu.

Saya dipaksa meninggalkan Utusan pada 14 Julai 1998. Usia saya baru 45 tahun ketika itu. Saya faham situasi semasa yang memungkinkan penyingkiran itu. Krisis membabitkan Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, Anwar Ibrahim menggerhanakan dunia politik tanah air.

Saya tidak berkecil hati apabila saya diminta meletakkan jawatan.

Tulisan saya yang terakhir untuk Utusan Malaysia tersiar pada 23 Julai 1998 dalam kolum Nota Kaki, seminggu setelah saya meletakkan jawatan. Kesemua tulisan saya dalam akhbar dan majalah terbitan syarikat yang pernah saya pimpin dihentikan serta merta.

Saya tidak berkecil hati.

Saya hanya diberikan tempat untuk menulis di Utusan Malaysia empat tahun kemudian. Pada bulan November 2001, Sasterawan Negara Usman Awang meninggal dunia. Mungkin editorial Utusan merasakan tidak ada orang yang lebih mengenal Usman daripada saya. Lalu saya diminta menulis belasungkawa, yang tersiar dengan judul “Usman Awang yang saya kenal” dalam Utusan Malaysia 30 November 2001.

Saya tidak pernah diundang menghadiri sebarang majlis rasmi syarikat Utusan Melayu sehinggalah Zainuddin Maidin (Zam) mengundang saya ke majlis pelancaran buku Said Zahari, Meniti Lautan Gelora pada tahun 2001.

Saya tidak berkecil hati.

Sejak saya meninggalkan Utusan Melayu 21 tahun yang lalu saya tidak pernah secara terbuka mengkritik Utusan. Memang ada perkara yang tidak saya senangi tentunya, namun saya mendiamkan diri. Hanya pada 5 Jun 2018 ekoran pendirian Utusan berhubung cadangan perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu, saya menegur Utusan. Saya dan Zam mengeluarkan kenyataan media mengecam pendirian Utusan tentang isu itu. Saya dan Zam dikritik teruk kerana kenyataan itu.

Saya tidak berkecil hati.

Apabila saya dinobatkan Tokoh Wartawan Negara oleh MPI pada 26 April baru lalu, semua akhbar melaporkan peristiwa itu. Utusan Malaysia keesokan harinya menyenaraikan nama kesemua pemenang hadiah Malam Kewartawan Malaysia MPI-Petronas 2018 tetapi tidak langsung menyebut penganugerahan tokoh tertinggi bagi kaum wartawan yang diberikan pada mantan Ketua Pengarangnya.

Saya tidak berkecil hati.

Banyak pimpinan editorial Utusan yang lain telah melalui peristiwa yang jauh lebih getir, lebih dramatik dan lebih malang daripada saya. Said Zahari diletakkan di bawah ISA selama 17 tahun. Banyak wartawan Utusan yang ditahan atas pelbagai alasan. Dalam sejarah Utusan Melayu tidak banyak Ketua Pengarang yang mengakhirkan karier mereka tanpa dibuang. Banyak pula yang menderitai pelbagai tekanan dalam menjalankan tugas. Atau hidup dengan pelbagai stigma setelah mereka meninggalkan Utusan.

Utusan Melayu nama yang digeruni sejak awal, mulanya oleh pentadbir kolonial, kemudiannya oleh pimpinan politik anak bangsa. Maka itu pimpinan editorial Utusan perlu dirampas pada tahun 1961 menyebabkan Mogok Utusan Melayu yang berakhir selama 90 hari. Itu merupakan titik tolak penting dunia kewartawan tempatan. Dengan pengambilalihan Utusan Melayu oleh UMNO, berakhirlah secara rasmi kebebasan media sebenar di negara ini.

Utusan senama dengan tokoh-tokoh besar yang pernah berkhidmat dengannya. Ia bermula dari Rahim Kajai, Yusof Ishak, A. Samad Ismail, A. Samad Said, Usman Awang, Tajuddin Kahar, Salim Kajai, Awam-il-Sarkam, Othman Wok, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Ishak Haji Muhammad, Zainuddin Maidin, Khalid Mohd, dan dilanjutkan oleh generasi yang lebih muda hari ini. Dan kita jangan melupakan ratusan para wartawan lain yang pernah menyumbang pada Utusan Melayu, “the unsung heroes” yang turut mencorakkan syarikat ini.

Jadi, bagaimanakah saya boleh berkecil dengan apa yang berlaku pada saya?

Saya selalu mengingatkan pimpinan Utusan tidak akan dinilai berdasarkan “kesetiaan” mereka pada pimpinan politik semasa. Mereka akan dinilai daripada profesionalisme dan kredibiliti mereka. Seperti yang selalu saya hujahkan, orang politik boleh datang dan pergi, wartawan tidak ke mana-mana.

Ini bukan zaman yang mudah bagi industri media. Zaman gemilang dunia persuratkhbaran dalam bentuk tradisionalnya telah lama berakhir. Dunia persuratkhabaran menghadapi cabaran dan dugaan baharu, berbeza tentunya dengan apa yang pernah saya lalui, atau mereka yang terlebih dahulu dari saya. Syarikat media perlu membuat “rebooting” pendekatan niaga dan urusan pengumpulan berita dan maklumat.

Utusan seperti banyak syarikat media yang lain sedang tercabar teruk oleh perubahan dramatik dunia maklumat semasa. Model niaga yang lama mungkin tidak sesuai lagi. Media sosial merupakan ancaman dan disruptor utama pada industri ini. Belum pernah dalam sejarah 80 tahun kewujudannya Utusan Melayu tercabar sebegitu hebat.

Kami, wartawan veteran Utusan hanya mampu memerhati dinamisme baharu dunia media hari ini dari jauh. Kami amat memahami dan menyedari cabarannya. Namum bagi mantan karyawan syarikat ini, jauh di lubuk hati kami berharap agar syarikat ini akan terus bertahan mewarnai dunia media semasa. Utusan tidak boleh pupus!

Utusan bukan namanya Utusan sekiranya ia tidak bersedia membuat penyesuaian.

Memahami kenyataan getir yang harus dilalui oleh Utusan, siapalah saya untuk berkecil hati dengan syarikat keramat ini?

TAN SRI JOHAN JAAFFAR menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu dari tahun 1992 hingga 1998. Beliau baharu sahaja dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada 26 April 2019.