Mohd. Lazim Lawee dalam buku Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya (2004) terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, bagaimanapun setelah tujuh tahun penubuhannya, jemaah dakwah tersebut mula mendirikan sekolah pertamanya di Perkampungan Sungai Pencala pada 1975.

Peningkatan dan kecemerla­ngan dalam pendidikan al-Arqam boleh dikatakan bermula apabila Ustaz Mokhtar Yaakob menyertai jemaah tersebut.

AKHBAR Utusan Malaysia melaporkan berita bertajuk “Haji Mokhtar seru kembali ke jalan benar” pada 27
AKHBAR Utusan Malaysia melaporkan berita bertajuk “Haji Mokhtar seru kembali ke jalan benar” pada 27 Jun 1986. 

Pada 1979, Ustaz Mokhtar dilantik sebagai mudir mengambil alih tempat Ustaz Mohd. Roshdi Yusof.

“Sekolah al-Arqam kemudian ternyata lebih bererti dan taraf pengajiannya dinaikkan ke peringkat sekolah menengah dan akhirnya sekolah ini dikenali dengan nama Yayasan al-Arqam” (Mohd Lazim Lawee 2004: 61).

Ekoran itu pelajar-pelajarnya mula bertambah dan perkampungan Sungai Pencala dibanjiri pelajar-pelajar dari dalam dan luar negara. Pada 1980, al-Arqam berjaya mendaftarkan melebihi 800 pelajar yang datang dari seluruh Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

Pada 1985, al-Arqam memiliki lebih 22 buah sekolah menengah, 41 buah sekolah rendah dan 100 buah tadika di seluruh negara. Suatu ketika, ada percubaan untuk meningkatkan taraf pengajian al-Arqam ke tahap universiti bagi pelajar ijazah dan diploma.

“Ustaz Mokhtar Yaakob dikatakan akan dilantik sebagai Rektornya manakala pembantunya ialah Syekh Abdul Rahim Syekh Ahmad dan Ustaz Mohd. Roshdi Yusof, tetapi setelah tercetusnya isu Ustaz Mokhtar Yaakob yang bertindak keluar dari jemaah percubaan itu terbiar begitu sahaja” (Mohd. Lazim Lawee 2004: 62).

Misi sulit al-Arqam itu dikesan dan diragui oleh anggota al-Arqam terawal pada 1979, apabila Haji Akbar Anang bertindak keluar dari Jemaah diikuti oleh Ustaz Mokhtar Yaakob.

“Akibat tindakan mereka berdua itu maka terbongkarlah segala bentuk kepercayaan Ustaz Ashaari Muhamad yang sudah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar” (Mohd Lazim Lawee 2004: 17).

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan berita bertajuk “Haji Mokhtar seru kembali ke jalan benar” pada 27 Jun 1986. Bekas Timbalan Syeikhul Arqam itu yang keluar dari ‘uzlah’nya menyeru ahli-ahli al-Arqam yang mempercayai dan mengamalkan tarekat Aurad Muhammadiyyah supaya segera menghentikan perbuatan sesat tersebut dan kembali kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurut Mohd. Lazim lagi, tarekat Aurad Muhammadiyyah yang diasaskan oleh Syeikh as-Suhaimi diterima daripada bapa saudaranya Le­bai Ibrahim ketika beliau berusia 16 tahun lagi dan diamalkan oleh para pengikutnya apabila beliau menubuhkan al-Arqam.

Untuk memperbetulkan kesalahan yang berlaku di dalam al-Arqam, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah beberapa kali memanggil Ashaari untuk bermuzakarah.

Tindakan seterusnya ialah pengharaman buku Aurad al-Muhamadiyyah Pegangan Darul Arqam oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam pada 1986. Manakala Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri turut mengharamkan pada 1988, diikuti oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Namun begitu, kumpulan dakwah ini masih terus aktif, malah Ustaz Ashaari tetap di­terima oleh seluruh pengikutnya sebagai pemimpin agung, Wali Allah dan pembantu kanan Syeikh as-Suhaimi yang didakwa sebagai bakal Imam al-Mahdi yang ditunggu-tunggu kedatangannya. Jus­teru Ustaz Ashaari terus dipuja, segala arahannya ditaati, setiap ramalannya dianggap benar” (Mohd. Lazim Lawee 2004).

Pengikut Ashaari terus mendewa-dewakan pemimpin mereka dengan pelbagai gelaran seperti ‘Abuya’ Syeikhul Arqam sesuai dengan martabat tingginya sebagai mahaguru dan pemimpin tertinggi dalam kumpulan Jemaah yang me­­nyampaikan taklimat, ce­ramah, kuliah dan tarbiah kepada semua pengikutnya.

“Dalam kes ini Ashaarilah selaku mursyid atau mahaguru kepada semua ahli al-Arqam. Bermula dari peringkat atasan sehinggalah ke peringkat bawahan. Sebab itu beliau bergelar sebagai Syeikhul Arqam” (Mohd. Lazim Lawee 2004: 53).

Bagi pengikut al-Arqam, kedudukan guru mursyidnya terlalu tinggi. Ilmu dan panda­ngannya dikatakan diperoleh secara ‘wahabiah’ atau ‘laduni’ iaitu ilmu yang diberi oleh Allah secara langsung tanpa penat belajar.

  • ESOK: Ke mana Ustaz Ashaari menghilangkan diri?

Sumber: Pusat Maklumat Utusan