Walaupun Utusan Melayu bukan akhbar pertama negara ini tetapi ia lebih menonjol dan menjadi suara orang Melayu bagi menuntut kemerdekaan dan memajukan pemikiran bangsa.

Orang Melayu perlu bangkit mempertahan dan menyelamatkan akhbar ini daripada terkubur sekali gus menghilangkan suara masyarakat itu di akhbar arus perdana.

Mendukung perjuangan awal penubuhan akhbar itu, terbitan pertamanya bertarikh 29 Mei 1939 memuatkan berita bertajuk Bagaimana tuan-tuan semua boleh menolong memaju dan menjayakan Utusan Me­layu? melaporkan, banyak surat telah tiba ke pejabat Utusan Melayu tetapi hampir lima puluh peratus daripadanya ialah berkenaan permohonan pekerjaan dengan Utusan Me­layu.

Selain itu, ada yang me­minta jadi kerani, jadi penyusun huruf, jadi penulis khas dan menawarkan diri menjadi pengarang Utusan Melayu. Jalan yang baik sekali bagi tuan-tuan yang berhajat bersungguh-sungguh mahu menolong memaju dan menjayakan akhbar kebangsaan Utusan Melayu ini ialah memikirkan keupayaan tuan-tuan untuk membantu akhbar ini.

Laporan itu memetik, “Jika­ tuan seorang hartawan usaha untuk membantu akhbar ini dengan membeli saham-saham syarikat Utusan Melayu atau melanggan akhbar Utusan Melayu dua tiga naskhah pada setiap keluaran dan dikhairatkan atau dihadiahkan kepada masjid-masjid atau surau-surau di kampung.”

p
AKHBAR edisi khas sempena 80 tahun Utusan Malaysia yang diterbitkan pada 29 Mei lalu.

“Jika tuan fikir tuan pandai dan layak mengarang maka karangkan makalah-makalah yang berfaedah, syair-syair dan pantun-pantun tetapi jikalau tuan cuma tahu menulis tolonglah tuliskan sebaris dua berkenaan dengan kejadian atau hal ehwal kampung, mukim, jajahan atau negeri tuan.

“Jika tuan tahu membaca sahaja boleh juga tuan menolong iaitu membacakan akhbar Utusan Melayu kepada saudara-mara tuan yang tidak tahu membaca. Pendeknya kalau ada pe­rasaan yang baik, tulus dan ikhlas kepada bangsa dan perusahaan bangsa sendiri maka ada beratus-ratus jalan yang tuan semua boleh menolong.”

SEMANGAT 
PERJUANGAN UTUSAN

Utusan Malaysia menyambut ulang tahun ke-80 pada tahun ini. Tarikh 18 Jun 1938 adalah hari di mana syarikat Utusan Melayu diperbadankan dengan nama Utusan Melayu Press Limited dengan matlamat untuk menerbitkan akhbar bernama Utusan Melayu sebagai penyampai suara orang-orang Melayu bagi memperjuangkan kepen­tingan bangsa dan tanah air.

Ba­nyak orang keliru mengenai Utusan Melayu sebagai syarikat dan akhbar. Lebih-lebih lagi banyak orang kurang faham dengan perjuangan Utusan Melayu .

Ini kerana apabila disebut sebagai Utusan Melayu, maka yang tergambar ialah akhbar bertulisan jawi yang mula diterbitkan pada 1939.

Kini akhbar ini sudah tiada. Ia dihentikan penerbitannya pada 31 Disember 2003. Sementara akhbar Utusan Melayu Mingguan bertulisan jawi yang diterbitkan seminggu sekali dan menjadi sisipan dalam Utusan Malaysia mula menemui pembaca pada 4 Januari 2003.

Seringkali disebut Utusan Melayu Mingguan sebagai pengganti Utusan Melayu kerana kedua-duanya bertulisan jawi. Tetapi pengganti sebenar Utusan Melayu bukannya Utusan Melayu Mingguan tetapi adalah Utusan Malaysia yang mula diterbitkan pada 1 September 1967.

Perjuangan Utusan Melayu yang mempertahan tulisan jawi demi agama, bangsa dan tanah air, ataupun yang sering disebut sebagai alif, ba, ta. Alif untuk agama. Ba untuk bangsa dan Ta untuk tanah air.