Laungan keramat itu pernah menjadi gegak gempita dalam kalangan peserta demonstrasi yang sanggup turun ke jalanan isyarat protes terhadap pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 2 September 1998.

Anwar juga turut dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kewangan selepas 16 tahun empat bulan berada dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Utusan Malaysia pada 3 September 1998 melaporkan Anwar yang berusia 51 tahun ketika itu menerima surat perlucutan jawatan pada pukul 7.05 malam di kediamannya yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana di Jalan Damansara, Kuala Lumpur.

Berita pemecatan itu sekali gus menimbulkan sejuta persoalan kerana Dr. Mahathir bukan sekali bahkan berulang-ulang kali mengisytiharkan bahawa Anwar bakal penggantinya untuk memimpin negara apabila tiba masanya.

“Daripada hanya seorang pemimpin pelajar dan kemudian menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anwar dibawa ke dalam UMNO oleh Dr. Mahathir sendiri dan bermula dari situ karier politiknya meningkat cemerlang.

“Anwar merupakan bintang yang sedang bersinar dan di bawah naungan Perdana Menteri membuatkan kehadirannya dalam UMNO dengan mengalahkan tokoh-tokoh ternama dalam parti itu sepanjang kariernya,” lapor Utusan Malaysia.

Keesokan harinya pada 4 September 1998, terpampang di muka depan akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa kononnya bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah meliwat seorang lelaki sebanyak 15 kali, melakukan hubungan seks dengan wanita pelbagai bangsa dan cuba memikat isteri orang.

Dakwaan-dakwaan tersebut terkandung dalam satu afidavit yang difailkan oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-­Undang Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis II, Musa Hassan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu.

Musa malah ketika itu juga merupakan penyelia pegawai penyiasat bagi kes buku ‘50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’ yang ditulis oleh Datuk Khalid Jafri Bakar Shah.

Afidavit itu juga mendakwa kononnya Anwar menerima RM60 juta daripada Pengarah Eksekutif Perhubungan Awam, Magnum Corporation Berhad, Datuk S. Nallakaruppan pada Pilihan Raya Umum 1995.

“Nallakaruppan sering mengikutinya keluar negara dan menjalankan aktiviti sebagai orang tengah yang membolehkan Anwar dipergunakan oleh anasir jahat bagi mengancam keselamatan negara,” tulis wartawan, arwah Kamariah Ahmad.

Menurut buku Idealisme Anwar yang ditulis oleh Mohd.Nazir Ibrahim (2014), Anwar menegaskan bahawa Dr. Mahathir mencabar dirinya atas kesalahan yang tidak dilakukannya.

Jelas beliau, Dr. Mahathir boleh menyakinkan orang ramai dengan tuduhan palsu tetapi beliau tidak boleh me­nipu dirinya dan pengikutnya kerana kedudukan Anwar sangat kuat dalam kalangan akar umbi UMNO dan majoriti rakyat tidak dapat berdiam diri dengan tindakan tersebut.

“Mereka merasakan kezaliman itu patut dilawan. Anwar seorang yang kuat jiwanya, tidak pernah mengalah untuk menentang kezaliman dan apa yang berlaku ke atas diri dan keluarganya perlukan pem­belaan.

“Pengalaman yang beliau lalui selama ini terutama sewaktu bergelar mahasiswa adalah pemangkin untuk memberontak semula kepada UMNO,” (Plot Pemecatan Anwar).

Dalam situasi genting itu, Anwar mengajak rakyat yang kuat dan berani bersamanya menghidupkan kembali budaya demonstrasi jalanan dengan membuat Pengisytiharan Gerakan Reformasi pada 5 September 1998 sehingga muncul kalimah:

‘Kalau takut dilambung badai, jangan berbicara soal perjuangan’ dan ‘lawan tetap lawan’.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan