Menurut buku Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran Edisi Kedua oleh Chamil Wariya (2014), Rosnah menceritakan pengalamannya selama tiga jam menaiki bot menyusuri Sungai Pahang yang merupakan kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan selain bertemu dengan penduduk tempatan dan Orang Asli sebagai jurupandu ketika membuat liputan khas berkenaan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 1 dan 2 Mac 1982.

Rosnah menceritakan, selepas menerima arahan daripada Ketua Pengarang Utusan Melayu, Mazlan Nordin, beliau bersama jurukamera berangkat dengan kereta dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Tembe­ling di Jerantut, Pahang.

“Dari Kuala Tembeling, kami menyusuri Sungai Pahang dengan bot selama tiga jam ke Kuala Tahan dan kami bermalam di sana. Selesai me­nemuramah Orang Asli dan kakitangan kerajaan yang bertugas di Taman Negara, sekolah dan klinik, kami mudik lagi selama tiga jam dari Kuala Tahan ke Kampung Bantal untuk menemuramah penduduk di situ pula,” cerita Rosnah.

Sebelum memulakan perjalanan di kawasan pedalaman Pahang itu, Rosnah terlebih dulu membuat penyelidikan seberapa banyak mengenai cadangan empangan itu antaranya apa yang ada di kawasan itu, apa yang menjadi kontroversi dari segi alam sekitar, berapa luas kawasan yang akan ditenggelami air, berapa banyak flora dan fauna yang akan musnah dan apa pula faedah yang akan diperoleh jika projek hidroelektrik itu dibina.

“Homework sebelum pergi dan hubungan baik yang telah terjalin dengan orang kampung yang boleh menjadi jurupandu memudahkan sedikit tugasan saya.

PENGARANG Rencana Utusan Malaysia, Rosnah Majid menerima Hadiah Kajai daripada Tun Dr. Mahathir Moha
PENGARANG Rencana Utusan Malaysia, Rosnah Majid menerima Hadiah Kajai daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Malam Wartawan 1983. Beliau merupakan pemenang pertama anugerah tersebut berikutan laporannya mengenai pembinaan Empangan Tembeling di Jerantut, Pahang pada tahun 1982. 

“Jurupandu ini mengenali Tok-Tok Batin Orang Asli dan Tok-Tok Batin mengenali mereka. Orang Asli lebih senang didekati apabila bersama orang yang telah lama mereka kenali,” cerita Rosnah lagi.

Antara sumber maklumat terpenting yang ditemuramah Rosnah ialah Penguasa Taman Negara, Rapiah Muda yang ternyata sedih dengan berita pembinaan projek Empangan Tembeling.

“Pihak Taman Negara sedar yang kerajaan mempunyai alasan tersendiri mengenai Empangan Tembeling. Kita tahu Pahang memerlukan banyak kuasa elektrik untuk mengembangkan perindustrian dan memanggil pelabur masuk.

“Tetapi apabila dilihat dari segi bagaimana empangan itu akan merosakkan Taman negara, pihak kami tentulah berasa sedih. Sungguhpun kerajaan akan menggantikan dengan kawasan baharu tetapi kawasan yang menjadi tarikan pelancong sekarang ini semuanya akan menjadi kenangan sahaja,” tambah beliau.

Setelah memperoleh maklumat yang diperlukan bersama gambar-gambar hasil daripada temu ramah dengan seramai mungkin orang, Rosnah memulakan penulisan berdasarkan tinjauan yang dilakukan di Hulu Tembeling, Taman Negara dan Kampung Bantal.

Oleh kerana maklumat yang diperoleh berdasarkan maklumat yang dikumpul di lapangan ‘tempat projek ini akan dibina’ bukannya menerusi panggilan telefon daripada bilik berhawa dingin, Rosnah yakin tulisan­nya adalah berwibawa.

Rosnah menulis dengan penuh tanggungjawab ketika melukiskan keindahan Taman Negara yang menjadi lokasi kesayangan ramai termasuk pelancong asing.

Rosnah menyatakan: “Sesungguhnya Taman Negara sangat indah. Hutan hijau tropika yang tertua di dunia berusia lebih 3,000 juta tahun terpelihara dengan baik. Hutan ini menjadi tempat kediaman yang paling selamat kepada binatang-binatang liar daripada beratus jenis berserta tumbuh-tumbuhan daripada beribu jenis pula.

“Sungai-sungai pula menjadi tempat tinggal berbagai-bagai jenis ikan yang gembira bermain di jeram-jeram yang boleh didapati dengan banyak di Sungai Tembeling dan anak-anak sungai lain.

“Taman Negara bukan sahaja menarik binatang liar dan tumbuh-tumbuhan tetapi juga kepada pelancong dalam dan luar negeri. Ia menyediakan pelbagai peluang mempelajari alam dan kehidupan sambil bergembira menerusi menaiki bot, merentas jeram, meman­cing ikan, berenang di sungai yang jernih dan sejuk airnya, mendaki bukit, melihat binatang liar, berjalan dalam hutan dan mendengar nyanyian burung yang terbang ke sana ke mari keriangan” (Utusan Malaysia 2 Mac 1982.

Rosnah memetik kata-kata Rapiah Muda yang menyatakan jika Empangan Tembeling dibina di tempat yang dicadang­kan, itu bermakna tempat-tempat rendah yang menjadi tumpuan pelbagai binatang liar seperti gajah, seladang, rusa dan kijang akan ditenggelami air dan hidupan liar itu akan mati.

Selang beberapa minggu selepas tulisan Rosnah Majid disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 1 dan 2 Mac 1982, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membatalkan projek Empangan Tembeling setelah mengambil kira pandangan semua pihak hasil laporan Utusan Malaysia.

Pada Malam Wartawan 1983, Rosnah diumumkan sebagai pemenang pertama Anugerah Kajai yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan Laporan Khas mengenai kontroversi Empangan Tembeling.