Kes pertama yang melakar sejarah negara itu dianggap penting malah pernah mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa kerana kesemua tertuduh di­hadapkan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut fakta kes, seramai 27 anggota Al-Maunah melakukan rompakan senjata di kem tentera, Pos Kilometer 19, Kuala Rhui, Lebuh Raya Timur-Barat Gerik; di Batalion 304 Infantri, Kem Gerik dan di Bukit Jenalik, Kuala Kangsar.

Utusan Malaysia pada 3 Julai 2000 melaporkan sebanyak 90 laras senjata automatik dan beratus-ratus butir peluru dari kem tentera di Gerik berjaya dilarikan hasil penyamaran Ketua Kumpulan Al-Maunah, Mohamed Amin Mohamed Razali lengkap berpakaian celoreng askar yang kononnya sedang melakukan pemeriksaan mengejut di kem tersebut.

Namun, hasil kebijaksa­naan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohd. Zaini Mohd. Said mencuri tumpuan lensa media kerana beliau berjaya menyelinap ke kawasan musuh tanpa berlaku sebarang pertumpahan darah seperti dilaporkan Mingguan Malaysia pada 16 Julai 2000 dalam ‘Isu Minggu ini’.

“Sesiapa sahaja dalam keadaan saya mahukan peristiwa itu diselesaikan dengan cara terbaik, secepat mungkin dan bukannya untuk dianggap sebagai hero,” ujarnya menerusi wawancara bersama wartawan, Teon Eg.

Tegas Mohd. Zaini, hero yang sebenar ialah anggota tentera dan polis yang telah berdepan dengan anggota Al-Maunah itu secara langsung.

Tragedi Sauk itu menjadi hangat apabila parti pembangkang ketika itu menuduh kerajaan Pusat ‘bermain sandiwara’ apabila terbongkar majoriti anggota Al-Maunah adalah pengikut Pas.

Kemelut kecaman ‘sandiwara politik’ itu semakin hangat apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas pembangkang kerana terus membohongi rakyat de­ngan mereka-reka teori bahawa kejadian yang berlaku di Gerik dan Sauk, Perak itu sebagai sandiwara UMNO.

Abdullah secara sinis malah menyifatkan, teori itu sebagai tidak masuk akal dan kesal kerana pembangkang tergamak menuduh UMNO terbabit dalam kejadian yang telah mencemarkan imej tentera, agama dan negara.

Tuduhan itu juga ditepis oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Mustapa Mohamed menerusi laporan Utusan Malaysia pada 26 Julai 2000, yang menjelaskan keadaan itu menunjukkan Pas memperjuangkan kebatilan, kemungkaran, jihad karut dan syahid karut.

“Kita berharap mereka yang terlibat diambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan supaya ancaman hasutan yang boleh menghuru-harakan negara tidak berterusan,” kata­nya dalam majlis penerangan isu Al-Maunah anjuran Badan Perhubungan UMNO Kelantan ketika itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim pula menegaskan sebarang tuduhan terhadap kerajaan boleh didakwa atas tuduhan menghasut.

Beliau malah memberitahu dakwaan itu boleh dilakukan mengikut Akta Hasutan 1948 walaupun golongan terbabit cuba melindungi tindakan mereka dengan hujah-hujah berbaur keagamaan.

“Manusia telah mati, tebusan telah ditembak, masih berani pihak terbabit mengatakan ini adalah sandiwara,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 18 Julai 2000.

Impak tragedi Al-Maunah bukan sahaja memberi kesan kepada parti politik tertentu di negara ini bahkan menjadi pengajaran buat semua lapisan masyarakat supaya tidak taksub atau meletakkan kepercayaan melulu terhadap seseorang pemimpin yang sebenarnya mempunyai agenda tersendiri serta tipu muslihat.

Akhirnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Disember 2001 menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Mohamed Amin dan dua tertuduh lagi, sementara 16 ahli kumpulan lain yang mengaku tidak bersalah menjalani hukuman penjara sepanjang hayat.

Undang-undang sifatnya mengawal, mendidik dan mencegah. Kini selepas hampir dua dekad berlalu, 16 banduan tersebut yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang itu berhak membuat permohonan atau menghantar petisyen kepada Lembaga Pengampunan untuk memohon pengampunan.

Hal itu berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan iaitu semua pesalah yang dijatuhkan hukuman atas pelbagai kesalahan boleh mendapatkan pengampunan sama ada daripada Yang di-Pertuan Agong ataupun Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri. (Utusan Online 15 Mei 2018).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan