Hasil dedikasi, tunjuk ajar dan latihan keras A. Samad Ismail itu, tiga serangkai, Kamaludin Mohamad (Keris Mas), Datuk Usman Awang (Tongkat Warrant) dan Datuk A. Samad Said berjaya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Tugas memupuk bakat-bakat sasterawan muda di Utusan Melayu era Queen Street dan Cecil Street di Singapura ketika itu me­rupakan agenda A. Samad Ismail sendiri kerana Pengasas Utusan Melayu Yusof Ishak tidak berminat dengan sastera Melayu.

KEMATIAN Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang pada 29 November 2001 disiarkan pada muka hadapan m
KEMATIAN Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang pada 29 November 2001 disiarkan pada muka hadapan majalah Massa terbitan Kumpulan Utusan Melayu Bil. 321 8-14 Disember 2001 bertajuk “Hilangnya Permata Sastera”. 

Samad yang berkhidmat selama 17 tahun di Utusan Melayu sejak 1941 sehingga 1958 menyifatkan tempoh selama itu membolehkan beliau menyemarakkan dan menyuburkan minat wartawan-sasterawan berkarya bagi perkembangan bahasa dan kesu­sasteraan Melayu di Singa­pura dan Tanah Melayu.

Menurut Samad dalam rencana ‘Modal Asas Utusan Melayu Sumbangan Rakyat Miskin’ yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 25 Mei 1986, Utusan Melayu mencipta sejarah tersendiri dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu apabila berjaya melahirkan tiga tokoh genre sastera berbeza secara se­rentak iaitu Usman Awang (pe­nyair), Keris Mas (cerpenis) dan A. Samad Said (novelis).

SEJARAH

“Gaji di Utusan ketika itu tidak­lah lumayan. Selain sanju­ngan dari masyarakat sendiri, dari pihak kerajaan langsung ti­dak ada. Tetapi Utusan dapat juga mencipta sejarah. Sekurang-kurangnya dalam soal perkembangan bahasa dan kesusaste­raan.

“Agaknya apakah keputusan sejarah kalau sekiranya dalam awal tahun lima puluhan dulu, saya menerima tekanan Yusof Ishak supaya menolak saja sajak dan cerpen dari Utusan Zaman dan Mastika?

“Tidak sahaja Yusof tak suka pada sastera tetapi teman-teman lain di Jabatan Pengarang Utusan pun pada masa itu sependapat dengan Yusof bahawa Utusan tidak harus membesarkan sangat sajak dan tulisan-tulisan mengenai bahasa dan sastera.

“Apa agaknya akan jadi kepada ASAS 50? Atau adakah akan wujud sastera ASAS 50 kalau sekiranya pendapat Yusof dan teman-temannya menang dan pendapat saya kalah?

“Di mana agaknya ASAS 50 akan mucul? Di Majlis, Kuala Lumpur? Adakah Kamal atau Keris Mas dalam tahun lima puluhan dulu termimpi bahawa pada suatu waktu dia akan mene­rima Anugerah Sastera Negara? Atau Usman Awang? Atau Mazlan Nordin ketika itu termimpi bahawa suatu hari nanti dia akan menjadi seperti Yusof Ishak iaitu menjadi Managing Director Utusan Melayu” (A. Samad Ismail 1964).

MENGASUH

A. Samad Ismail dalam tulisan bertajuk ‘Cita-Cita Keris Mas: Mendaulatkan Bahasa dan Sastera Bangsa’ dalam buku Sasterawan Negara Keris Mas: Tanggapan Tokoh dan Sarjana yang diselenggarakan oleh A. Karim Abdullah dan A. Rahim Abdullah (2005) menyatakan, beliau sendiri yang terlibat mengasuh dan mendidik Keris Mas sejak pertama kali melangkah masuk bekerja di Utusan Melayu.

“Saya menjadi guru Keris Mas sejak hari pertama dia melangkah ke Utusan Melayu. Bukan sekadar menjadi gurunya me­ngajar ilmu kewartawanan dan penulisan, malah memperluas ilmu pengetahuannya dalam bidang-bidang lain untuk memantapkan keyakinan dirinya menghadapi cabaran hidup” (A. Samad Ismail 2005: 8).

Samad menyerahkan tugas sebagai penyunting mengendalikan Utusan Zaman dan Mastika kepada Keris Mas termasuk kerja-kerja menyunting rencana, cerpen, membuat ‘lay-out’ (rekabentuk), menilai berita, menterjemah dan mengenal rupa huruf.

“Hari pertama Keris Mas menjaga Utusan Zaman, saya tinggalkan pejabat pada jam 4 petang dengan mengajak Salleh Daud menonton wayang di Panggung Capitol.

“Keris Mas panik kerana saya mempertanggungjawabkan padanya urusan mengawasi dan mengelolakan Utusan Zaman hingga akhbar itu siap untuk di­ce­tak. Saya sengaja berbuat be­gitu untuk menguji adakah dia dapat menguruskan Utusan Zaman dalam keadaan tertekan dan terdesak. Dahari Ali tampil membantu Keris Mas kerana simpatinya terhadap seorang teman” (A. Samad Ismail 2005).

Bagi menyemarakkan lagi agenda sastera Utusan Melayu di­pimpin Samad, beliau bersama-sama Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said dan Asraf turut mengasaskan Angkatan Sas­terawan 50 (ASAS 50) di Singa­pura.

Melalui penubuhan ASAS 50, karya wartawan-sasterawan di Utusan Melayu seperti Usman Awang, Asraf, Ishak Haji Muhamad (Pak Sako), Masuri S.N, Abdul Rahim Kajai, A. Samad Said mendapat tempat di akhbar Utusan Zaman dan Mastika di bawah pimpinan Keris Mas.

Menurut Virginia Matheson Hooker (2003), ASAS 50 yang mendukung konsep ‘Seni Untuk Masyarakat’ mendakwa bahawa karya mereka memberikan kelainan dengan yang ‘lama’ seperti dipaparkan dalam novel Salina karya A. Samad Said yang dianggap oleh pengkritik sastera sebagai novel Melayu pertama disifatkan sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.