Kepayahan umat Islam ketika itu demi melaksanakan rukun Islam kelima sehingga meninggalkan ahli keluarga dan sanak saudara berbulan-bulan lamanya, bergolok-gadai dan menghadapi risiko kehilangan nyawa sekiranya kapal dinaiki dilanda ribut atau karam di tengah lautan.

Namun itu semua hanya tinggal kenangan apabila Lembaga Tabung Haji (TH) yang ditubuhkan telah memperkenalkan sistem penerbangan kapal terbang sepenuhnya pada 1976 sebagai tahun terakhir jemaah haji menggunakan kapal laut.

Penggunaan kapal laut telah dibuat sejak 1961 sehingga 1976. Antara 1970 sehingga 1976 kedua-dua perkhidmatan kapal laut dan kapal terbang dilaksanakan serentak dan pada 1977 perkhidmatan kapal laut ditamatkan perkhidmatan oleh TH.

Menerusi sistem penerbangan baharu yang dilaksanakan sepenuhnya itu, urusan TH untuk menghantar jemaah menunaikan ibadah di tanah suci dengan menaiki kapal terbang menjadi lebih mudah, selesa dan menjimatkan masa perjalanan.

Lebih penting, jika dahulu pelayaran menggunakan kapal laut mengambil masa kira-kira dua minggu tetapi dengan kapal terbang ia hanya antara lapan hingga sembilan jam sahaja untuk tiba sama ada Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah atau Lapangan Terbang Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Malaysia dan Tabung Haji bagi mengendalikan jemaah haji dengan penerbangan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Kuala Lumpur ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi pada 1970. Tahun ini genap 49 tahun MAS memberi perkhidmatan kepada jemaah Malaysia menunaikan haji setiap tahun.

MAS juga diberi kepercayaan mengendalikan penerbangan pengantara menggunakan pesawat miliknya untuk membawa jemaah haji dari Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.

TABUNG HAJI PILIH MAS

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 30 Jun 2015 menyiarkan berita bertajuk Tabung Haji pilih MAS bawa jemaah haji ke tanah suci melaporkan, Tabung Haji memeterai perjanjian dengan MAS bagi mendapatkan perkhidmatan 78 penerbangan sewa khas membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah pada musim haji ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail berkata, pihaknya amat menitikberatkan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia dan MAS telah meneruskan perkhidmatan cemerlang selama ini sejak 1970.

“Pada 2015, sebanyak 78 penerbangan sewa khas MAS meliputi penerbangan pergi dan balik menggunakan pesawat B777-200 akan membawa jemaah kita ke ta­nah suci.

“Penerbangan sewa khas itu akan berlepas ke tanah suci dalam dua peringkat yang bermula dari 16 Ogos hingga 16 September bagi peringkat pertama manakala 29 September hingga 28 Oktober bagi peringkat kedua.

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman bersama Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia Tabung Haji, Mohd. Hisham Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS ketika itu, Christoph Mueller.

Jelas Ismee yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, penerbangan sewa khas itu akan disediakan di tujuh negeri seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Terengganu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Sarawak.

Sementara itu, Mueller berkata, MAS bersama Tabung Haji komited untuk menyediakan perkhidmatan yang komprehensif kepada jemaah di darat mahupun dalam penerba­ngan.

“Kami amat berbesar hati kerana terpilih untuk kerjasama operasi haji ini dan gembira segala usaha telah mencapai standard yang diharapkan,”katanya.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan