UKSB lancar pesanan buku dalam talian

JOHOR BAHRU 15 Mei - Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) hari ini melancarkan pesanan buku dalam talian melalui laman web www.bukupps.com dan www.kedaiguru.com bagi memudahkan guru membuat pesanan buku sebagai bahan rujukan.

Perunding Pembangunan Perniagaan Utusan Karya, Mohd. Ali Berkat Ali berkata, laman web www.bukupps.com itu adalah untuk kegunaan guru-guru Pusat Sumber Sekolah (PSS) membuat pesanan buku untuk kegunaan murid-murid di sekolah.

"Manakala laman web www.kedaiguru.com adalah untuk pembelian peribadi bagi warga pendidik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Taklimat dan Pelancaran Pesanan dalam talian serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKSB dan Majlis Guru Besar (MGB).

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif/Ketua Pengarang yang mewakili UKSB, Ariffin Nordin UKSB manakala Yang Dipertua MGB Kebangsaan, Mas'ood Idris mewakili MGB.

Mohd. Ali berkata, melalui laman web tersebut, guru-guru PSS tidak perlu lagi membuat pembelian melalui kedai buku atau menunggu penjual untuk membawa buku sampel ke sekolah.

"Selain tidak perlu pergi ke kedai buku, buku-buku yang dipaparkan di laman web ini dipaparkan mengikut kategori berserta sebut harga," katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai MoU tersebut, Ariffin berkata, ia merupakan satu peluang bagi pihak UKSB dan MGB mengeratkan hubungan dua hala selain merancang kerjasama strategik di masa akan datang.

"Salah satunya adalah dengan pelancaran laman web ini, selain memudahkan guru ia juga sejajar dengan cara pembelajaran abad ke-21," ujarnya. - UTUSAN ONLINE