Tren LRT baharu laluan Kelana Jaya mula beroperasi

KUALA LUMPUR, 29 Dis. - Canggih dan elegen itulah yang dapat digambarkan mengenai tren baharu Rapid KL laluan Kelana Jaya yang mula beroperasi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata sebanyak 14 unit tren KLAV (Kuala Lumpur Additional Vehicle) model Bombardier Innovia Metro 300 mampu meningkatkan kapasiti penumpang LRT laluan Kelana Jaya sebanyak 30 peratus.

"Kami yakin dengan beroperasinya tren baharu ini, pengguna setia Rapid KL akan menikmati pengalaman lebih bermakna serta keselesaan yang dipertingkatkan sejajar dengan misi kami menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia."

"Tren baharu ini digunakan secara berperingkat mengikut jadual penghantaran oleh pembekal kepada kami yang dijangka diterima sepenuhnya pada pertengahan tahun depan," tambah Zohari ketika ditemui.

Tren empat gerabak tanpa pemandu ini direka dan diperbaharui dengan suasana yang lebih menarik dan moden.

Setiap gerabak dilengkapi dengan empat unit kamera tertutup dan tempat duduk khas untuk orang kelainan upaya (OKU). - UTUSAN ONLINE