Tidak galakkan anak ikut langkah - Tomok

KUALA LUMPUR - Daripada dalam anak matanya,Tomok jujur apabila memberitahu beliau tidak menggalakkan anak-anaknya mengikut jejak langkahnya sebagai artis.

Tidak langsung bermaksud untuk merendahkan karier seni dan hiburan, Tomok telah melalui dan menempuh dunia artis sejak berusia 15 tahun.

"Dunia kemasyhuran, populariti sudah saya rasai. Zaman kegemilangan New Boyz yang memasyhurkan kami sehinggalah zaman itu menurun dan hilang.

"Walaupun anak sulung saya suka menyanyi tetapi saya tidak pupuk minatnya itu menjadi lebih dalam.

"Biarlah sekadar untuk suka-suka atau penampilan sekali sahaja atau one off project," ulas Shah Indrawan atau Tomok.

Dalam usia 33 tahun, Tomok hari ini lebih fokus kepada rumah tangga dan keluarga.

Namun karier seni tetap menjadi punca rezekinya dan beliau melahirkan rasa syukur kerana kariernya ini mendapat sokongan isteri, keluarga, rakan-rakan dalam industri dan semestinya, peminat. - UTUSAN ONLINE