Tabung bantuan pesakit leukimia Tesco Malaysia-PPUM hampiri sasaran RM1 juta


PETALING JAYA 22 Dis. - Usahasama strategik antara Tesco Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam mengumpul dana bagi membantu pesakit leukimia benar-benar membuahkan hasil apabila sejumlah RM875,000 kini telah berjaya dikumpulkan.

Kerjasama yang bermula sejak Ogos 2012 ini merupakan salah satu daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tesco Malaysia dengan sasaran untuk mengutip dana berjumlah RM1 juta.

"Ini merupakan salah satu daripada komitmen kami untuk mendekatkan diri kepada komuniti, dengan 'memberi kembali' kepada orang ramai," kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Georg Fischer yang ditemui selepas melancarkan majlis sambutan kejayaan Eco Walk For Life 2014 di PPUM di sini tadi.

"Saya yakin kita akan mencapai sasaran kita tidak lama lagi," tambah Georg apabila ditanya mengenai sasaran pungutan.

Majlis tadi turut dihadiri oleh Penolong Pengarah PPUM (Profesional) Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainal Abidin, dan Ketua Penyelidik Kajian Leukemia Kanak-Kanak Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Hany Mohd. Ariffin.

Menurut Dr. Hany, dana yang dipungut akan disalurkan ke sebuah tabung kebajikan pesakit di mana ia digunakan untuk menampung kos perubatan pesakit.

"Ada sebahagian kos perubatan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga dan dana ini akan digunakan untuk membantu meringankan beban mereka terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan," kata Dr. Hany.

Sehingga kini, kira-kira RM325,500 telahpun diagihkan untuk membantu 36 kanak-kanak yang menghidap leukimia, dan di majlis yang sama, pihak Tesco menyerahkan sumbangan berjumlah RM60,000 yang dikumpul sewaktu acara berjalan kaki amal yang diadakan di Melaka pada 9 November lepas. - UTUSAN ONLINE