SMPK Setapak buktikan masalah penglihatan bukan penghalang

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, di sini berazam akan terus mempertingkatkan pencapaian pelajarnya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengetuanya, Jalaludin Yusof berkata, pada tahun 2015 dua daripada 140 orang  pelajar di sekolahnya mendapat 10 A manakala tahun lalu seramai dua orang mendapat 8 A.

“Kita berharap tahun ini seramai 10 orang pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Biarpun mereka ini rabun teruk dan buta, namun pencapaian akademik mereka boleh dibanggakan walaupun terpaksa menggunakan alat bantuan belajar ketika menjalani  proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Jalaludin berkata, sekolah tersebut pada asalnya adalah sebuah asrama bagi menempatkan pelajar yang mempunyai masalah penglihatan namun diubah menjadi sebuah sekolah khas bagi golongan tersebut.

“Di sini Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah menyediakan semua kemudahan sama seperti di sekolah aliran perdana.
“Pelajar turut dibekalkan dengan alat bantuan belajar seperti mesin Braille, perisian khas untuk orang buta seperti ‘Jaws’ dan kanta pembesar, malah setiap pelajar juga mendapat elaun murid khas sebanyak RM150 setiap bulan,” ujarnya.

Mengulas mengenai aktiviti di sekolah tersebut, Jalaludin berkata, pihaknya mempunyai hubungan baik dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah.

“Baru-baru ini pelajar mengadakan gotong-royong dan memasak di rumah orang-orang tua, aktiviti seperti ini didedahkan supaya pelajar sedar dan tahu bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam masyarakat. 

“Kita tidak mahu pelajar ‘istimewa’ ini merasa tersisih apabila berhadapan dengan masyarakat luar,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Agama, Azuar Mat Jusoh berkata, dia menggunakan kaedah ‘one to one’ bagi menerangkan topik berkaitan kepada pelajar.

“Disebabkan jumlah pelajar yang tidak ramai di dalam kelas, agak mudah untuk saya fokus mengajar mereka ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE