Sirul Azhar: Wartawan hampa, panggilan ke Australia gagal

Persidangan telefon secara langsung dari Pusat Media Pas, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh model sambilan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam kes berprofil tinggi dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati hari ini dibatalkan ekoran dia gagal dihubungi selepas beberapa kali mencuba.

Persidangan telefon yang diatur oleh Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar pada pukul 11.33 pagi itu mahu memberi peluang kepada Sirul Azhar menjelaskan motif kesalahan yang telah dia lakukan.

Namun disebabkan dia gagal dihubungi, walaupun telah bersetuju pada awalnya, persidangan telefon itu dibatalkan dan ia turut menghampakan lebih 100 wartawan yang hadir ketika itu.

Namun yang peliknya, panggilan telefon itu berjaya dilakukan pada pukul 1.28 petang hanya selepas sebahagain wakil media beredar pulang dan tinggal beberapa media, termasuk portal Malaysiakini untuk merakamkan perbualan berkenaan.

Menariknya, Mahfuz tidak mampu menjawab persoalan wartawan sama ada orang yang dipanggil itu adalah Sirul Azhar yang sebanarnya atau tidak.