Program Motivasi dan Kepimpinan tingkatkan kualiti hidup murid orang asli

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Program Motivasi dan Kepimpinan yang melibatkan murid tahun tiga, empat, lima dan enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lanjan, Damansara Perdana, berjaya membawa mereka meningkatkan gaya hidup, komunikasi dan pemikiran.

Menariknya program hari ini, penglibatan murid-murid yang menggalakkan melancarkan aktiviti yang julung kali diadakan di sekolah ini.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Bukit Lanjan, Suhaidi Sapuan berkata, program yang dijalankan ini membolehkan transformasi minda di kalangan murid-murid sekolah.

“Tahniah murid-murid yang terlibat, saya percaya masyarakat orang asli akan pergi jauh suatu hari nanti.

“Jika sebelum ini, tidak ramai masyarakat orang asli bersaing dengan masyarakat lain dalam bidang akademik, namun hari ini sudah ramai pelajar terbaik di kalangan orang asli,” katanya di sini hari ini.

Program anjuran Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), mendapat kerjasama daripada Dewan Siswazah Majlis Dakwah Negara, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Persatuan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan Alvina Empire.

Sementara itu, Pengarah Urusan Alvina Empire, Siti Salbiah Md Othman berminat untuk mengambil 19 orang anak angkat dalam kalangan murid pendidikan khas SK Bukit Lanjan.

“Pihak kami akan menaja pendidikan mereka sehingga peringkat tertinggi.

“Program hari ini membuka mata kami tentang komuniti orang asli,” katanya.

SK Bukit Lanjan telah diumumkan Sekolah orang asli terbaik pendidikan dan kedatangan 2017 dari 94 buah sekolah di seluruh negeri. - UTUSAN ONLINE


 

 

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-program-motivasi-dan-kepimpinan-tingkatkan-kualiti-hidup-murid-orang-asli-1.595556#ixzz550Srcx00 
© Utusan Melayu (M) Bhd