Peserta PABM 2015 belajar lebih satu bahasa demi kerjaya dan mengenal budaya

BANGI 5 Ogos-Baru berusia 19 tahun namun peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2015 dari Rusia, Pavel Naidenov mampu menguasai empat bahasa iaitu bahasa ibunda beliau, bahasa Rusia, bahasa Perancis, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Pavel yang layak ke peringkat separuh akhir PABM 2015 menegaskan beliau mempelajari lebih dari satu bahasa kerana bercita-cita untuk menjadi ahli diplomatik yang perlu berhadapan dengan masyarakat pelbagai bangsa.

“Saya bercita-cita untuk menjadi ahli diplomat. Saya telah menguasai bahasa Rusia, Inggeris dan Perancis. Justeru saya fikir saya perlu mendalami bahasa timur dan saya memilih bahasa Melayu kerana keunikannya.

“Mungkin juga bahasa ini akan membantu saya sekiranya menjadi duta besar Rusia ke Malaysia satu hari nanti,” jelas Pavel sambil tertawa.

Pavel yang telah empat kali melawat Malaysia menjelaskan bahasa Melayu mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Rusia dari segi penggunaan ayat yang mudah dan beliau berkata bahasa Melayu juga mempunyai loginya yang sendiri.

“Misalnya kereta api dan bunga api. Ini mengambarkan logik terhadap benda yang dinyatalkan. Dan saya fikir bahasa Melayu lebih mudah dipelajari berbanding bahasa Inggeris dan bahasa Perancis,” jelas Pavel yang mengambil masa dua tahun untuk mempelajari bahasa Melayu serta mahir berpantun.

Sementara itu peserta Mali, Mariam Coulibay, 27, yang juga layak ke separuh akhir berkata, tidak rugi jika setiap individu belajar lebih satu bahasa selain daripada bahasa ibunda masing-masing.

“Pepatah Mali ada menyatakan ‘kalau kamu ingin mengenal orang harus belajar tentang bahasa dan budaya.

“Saya mempelajari bahasa Melayu kerana mungkin satu hari nanti pengetahuan dan kemahiran ini membantu kerjaya saya pada masa depan. Bahasa ini diguna dengan meluas di Malaysia dan Indonesia yang kini pesat dengan pembangunan ekonomi,” kata Mariam.

Mariam mengambil masa sembilan bulan untuk mempelajari bahasa Melayu-Indonesia.-UTUSAN ONLINE