Pertandingan menulis khat cungkil bakat muda

JOHOR BAHRU – Pepatah Melayu menyebut ‘kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’. Berikutan itu, Utusan Melayu Mingguan menganjurkan pertandingan khat sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 di Padang A, Angsana Mall di sini, baru-baru ini bagi mencungkil bakat golongan kanak-kanak dan remaja dalam bidang tersebut.

Ternyata usaha itu tidak sia-sia. Ini terbukti apabila seramai 46 orang terdiri daripada 21 pelajar sekolah menengah dan 25 murid sekolah rendah sekitar­ bandar raya ini menyertai pertandingan berkenaan.

Kategori sekolah menengah dimenangi oleh Ahmad Zafar Ahmad Hairul Nizam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, naib johan dimenangi Nabiha Mohd. Najib dari SMKA Bandar Penawar dan tempat ketiga, Mohd. Zakuan Jalaludin dari Madrasah Al-Attas.

Bagi kategori sekolah rendah, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai, Amira Nadhirah Zulkfli muncul sebagai juara. Tempat kedua dimenangi Muhd.  Zamie Hakimi Mohd. Zabri dari SK Mawai, manakala tempat ketiga dimenangi oleh rakannya, Nur Husnina Dini Jais.

Para peserta diminta menulis slogan Hari Guru 2017, iaitu Guru Pembina Negara Bangsa berasaskan kaedah khat thuluth (sekolah menengah) dan khat nasakh (sekolah rendah).

Johan menerima RM300, hamper, cenderamata sumbangan Johor Corporation (JCorp) serta sijil, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerima RM200 dan RM100 serta hamper, cenderamata dan sijil penyertaan.

Penghakiman dibuat berdasarkan keaslian bentuk seni khat, susunan huruf, kebersihan dan kekemasan serta hiasan tepi. Juri terdiri daripada guru agama Jabatan Pendidikan Negeri Johor iaitu, Syed Omar Shukri Syed Ahmad; Mohd. Shukri Mohd. Senin dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohammad Radzi Mohd. Zin.