Perjuangan seni Fareez, Afieq dan Mikah Amirul

KUALA LUMPUR - Segmen bual santai Jom Chat bersama tiga penyanyi pelapis, Fareez Fauzi, Afieq Shazwan dan Mikah Amirul malam tadi mengupas tentang perjalanan seni yang mereka tempuhi biarpun baru berusia setahun jagung.

Ketiga-tiga penyanyi lelaki ini mempunyai visi dan misi yang tersendiri namun segala yang mereka harapkan dalam meniti karier seni, semestinya sokongan daripada para peminat.

Fareez yang pernah dinobatkan sebagai juara program realtiti televisyen, Mentor Milena 2016, mengakui 'beku sejuk' kerana tidak didorongkan dengan laluan yang betul untuk melakar nama sebagai pendatang baharu bidang seni suara.

Afieq Shazwan pula yang memulakan langkah sebagai penyanyi pada usia 11 tahun menerusi program realiti televisyen, Idola Kecil, terus berjuang dalam karier pilihannya tanpa mengenal erti putus asa. Daripada menjadi penyanyi, Afieq juga seorang pelakon dan pengacara program.

Sementara Mikah Amirul, anak kelahiran Johor Bahru, Johor pula, walaupun menjalankan perniagaan bakery, cintanya yang mendalam dalam bidang seni suara menguatkan semangatnya untuk melahirkan single berjudul Janjiku. - UTUSAN ONLINE