Perjalanan Sissy Imann dan Toy Nizam masih jauh

KUALA LUMPUR - Kehadiran penyanyi Sissy Imann Mohammad Kamil di persada seni hiburan tanah air bukan sebagai artis 'kosong' sebaliknya gadis berusia 23 tahun ini penuh dengan ilmu di dada.

Sejak berusia 5 tahun, Sissy Imann memberitahu, beliau 'dipaksa' oleh ayahnya yang dipanggil dengan panggilan ayahanda, untuk mempelajari vokal kerana ketika era kanak-kanak, Sissy memberitahu, beliau suka menjerit.

Dan seawal usia yang mentah, Sissy Iman juga diberikan seorang guru piano untuknya belajar bermain piano atas alasan, ayahandanya mahu menyanyi. 

Namun begitu, pada segmen Jom Chat baru-baru ini, Sissy mengakui, ada rahmat di sebalik apa yang dilakukan oleh ayahandanya kerana nama beliau hari ini, bukan sahaja tampil sebagai penyanyi wanita pelapis tanah air tetapi juga kemampuan dan kebolehannya mencipta lagu dan menulis lirik menjanjikan kesinambungan langkah Sissy Iman dalam industri seni dan muzik Malaysia.

Bagi Toy Nizam, perjalanannya dalam dunia hiburan bukannya sentiasa mudah. Bersama kumpulan Hyper Act sebagai pemain gitar bass, Toy memberikan laluan kepada vokalis-vokalis yang pernah singgah untuk bersama dengan Hyper Act.

Hari ini, Toy tampil untuk menjadi penyanyi lelaki secara solo tanpa meninggalkan Hyper Act kerana sayangnya kepada kumpulan itu, masih menebal.

Kata Toy Nizam, beliau terus berkarya dan mencipta lagu dan lirik tanpa henti kerana baginya, langkah yang diambil untuk mendambakan diri sebagai anak seni, pasti berubah dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain.

Dengan single terbaharunya, Jangan Biarkan, Toy berharap penggemar muzik tanah air dapat menerima karyanya itu. - UTUSAN ONLINE