Pemuda dikhuatiri lemas di Sungai Hulu Langat

Malang tidak berbau. Dalam keadaan hujan lebat, air sungai di Batu 14, Hulu Langat, Selangor melimpah sehingga ke jalan raya. Mungkin tidak menyedari motosikal yang ditungganginya termasuk ke dalam sungai, seorang lelaki berusia 24 tahun hanyut dibawa arus deras bersama dengan motosikalnya. Kejadian petang semalam sempat dirakamkan dan menjadi tular di media sosial dan aplikasi wassap, jelas kelihatan mangsa yang masih memakai topi keledar, tenggelam dihanyutkan arus sungai yang deras.

Walaupun orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut petang semalam, cuba membantu namun mereka gagal. Bahkan pekikan orang awam agar mangsa melepaskan sahaja motosikalnya itu juga tidak mendapat respons.

Hari ini usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh anggota Bomba dan Penyelamat dengan diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Mohd. Shafiq Ramli bersama timbalannya, Pegawai Bomba Tinggi Ahmad Hisham Abd. Rahman.

Kerahan anggota bomba dan penyelamat dengan dibantu oleh pasukan khas dari Shah Alam, Pelabuhan Klang, Smart Team, bomba sukarela, Unit K9 dan penyelam terus berusaha keras untuk mencari mangsa yang dikhuatiri mati lemas.

Sepanjang 10 kilometer, bot-bot milik bomba dan penyelamat menyelusuri Sungai Hulu Langai, Sungai Tekali, Sungai Semungkis sehingga ke penghujung sungai di Jalan Kuari cuba mencari mangsa yang mungkin tersangkut pada batu-batu di dalam sungai ataupun di akar-akar kayu.

Ikuti temubual wartawan UTUSAN ONLINE, HASNURUL MOHAMED bersama juruvideo yang bertugas, AZMAN AHMAD dengan Komander Operasi, Penguasa Bomba MOHD. SHAFIQ RAMLI yang ditemui di pos pengawal Bomba dan Penyelamat yang dibina khusus untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di Batu 14, Hulu Langat. - UTUSAN ONLINE