Padang bola saksi 'pertempuran' veteran Utusan Malaysia lawan Berita Harian

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Padang Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar hari ini menyaksikan 'pertempuran mesra' di antara veteran Utusan Malaysia menentang veteran Berita Harian dalam satu perlawanan bola sepak amal bagi membantu mangsa gempa bumi di Palu, Indonesia.

Perlawanan berkesudahan dengan jaringan seri 2-2, dan berlangsung dengan penuh semangat setiakawan, menggambarkan keakraban serta hubungan baik di antara dua saluran media yang paling berpengaruh di Malaysia.

 

Bagi Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, perlawanan amal itu merupakan simbol kebersamaan agensi media dalam usaha membantu golongan yang memerlukan sama seperti mangsa bencana alam di Palu.

“Ini adalah kali pertama Utusan Malaysia dan Berita Harian berganding bahu untuk program seumpama ini dan wajar untuk diteruskan pada masa akan datang.

"Walaupun kita bersaing dari segi media tetapi menerusi program sebegini, ia menunjukkan kita boleh bersatu dan Alhamdulillah, perlawanan Bola Sepak Amal 2018 antara Veteren Utusan Malaysia dan Veteren Berita Harian turut mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin hadir merasmikan program itu sekali gus menerima sumbangan berjumlah RM28,600 dan sumbangan tersebut akan diagihkan di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Ujar Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nizam Mohd. Noor, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia serta Berita Harian yang turut cakna dengan peristiwa malang yang telah berlaku baru-baru ini.

“Tindakan ini sekali gus membuktikan bahawa kita mempunyai solidariiti dan walaupun bukan kita yang menerima bencana tersebut tetapi kerjasama ini menunjukkan kita amat prihatin dengan kejadian yang berlaku.

“Sehubungan itu, sumbangan yang berjaya dikumpul ini akan diserahkan kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang telah dikenal pasti seperti Majlis Belia Perlis dan Institut Qayyim untuk diuruskan,” katanya.

Dalam masa sama, majlis tersebut turut menyaksikan masjid-masjid di Perlis tampil dengan kutipan bernilai RM122,709; TNB (RM20,000); Bank rakyat (RM3,000) dan Teras Tanjung (RM3,000). – UTUSAN ONLINE