Onetouch Idolx akan buat pengguna kagum

Onetouch Idol X peranti 1.5 GHz quadcore pada harga RM999


Oleh NURULANUAR MANSOR


KUALA LUMPUR 4 Sept. - Saingan pasaran telefon pintar negara bakal menjadi lebih sengit dengan kehadiran model terbaharu Alcatel Onetouch Idol X yang menawarkan kuasa pemproses berteras kembar 1.5 GHz pada harga serendah RM999.

Menurut Pengurus Besar Alcatel Malaysia, KL Kong, produk utama rangkaian telefon Onetouch syarikat pengeluar peranti komunikasi yang dijanakan oleh sistem pemproses Android Jellybean 4.2 itu turut dilengkapi dengan kamera utama 13 megapiksel dan paparan HD penuh 5 inci.

Dalam ucapan pelancarannya di sini petang tadi, Kong menyatakan pihaknya yakin Alcatel Onetouch Idol X bakal menguasai pasaran tempatan dengan tawaran perkakasan hebat seperti slot SIM berkembar yang membolehkan pengguna menggunakan dua talian serentak.

"Kesemua ciri-ciri tersebut kami masukkan ke dalam reka bentuk Onetouch Idol X selepas mengkaji cita rasa pengguna tempatan dan global.

"Untuk masa terhad, telefon ini boleh dibeli dari pusat beli belah dalam talian Lazada (ww.w.lazada.com.my) pada harga RM999," jelas beliau.

Telefon pintar berdimensi 140.4 x 67.5 x 6.9 milimeter seberat 120 gram itu merupakan salah satu daripada 13 peranti yang diperkenalkan oleh Alcatel sebagai simbolik bagi meraikan ulang tahun jenama tersebut pada tahun ini. - UTUSAN ONLINE