Nasib Ewal dan Isa Khan dalam mengharungi karier seni

KUALA LUMPUR - Lahir daripada program realiti televisyen tidak menjanjikan kerjaya seni nyanyian untuk berada di puncak malahan ramai yang lahir daripada platform itu terkapai-kapai di luar sana dalam mencari tapak dan arah untuk meneruskan bakat yang dirasakan ada dalam diri masing-masing.

Tidak menafikan ada yang berjaya memahatkan nama sebagai penyanyi tanah air, namun Ewal terpaksa diam untuk seketika kerana karier nyanyiannya tidak benar-benar nampak di mata kasar.

 

Pun begitu, Ewal mengakui beliau tidaklah patah semangat cuma apa yang beliau mahu zahirkan menerusi muzik yang dirasakannya amat sesuai dengan jiwanya, mengambil sedikit masa untuk dipersembahkan kepada peminat.

 

Bagi Isa Khan pula, selain nyanyian, beliau memastikan dirinya juga seimbang dengan menjadikan bidang lakonan sebagai kariernya. 

 

Ketika tampil sebagai selebriti undangan segmen bual bicara santai yang disiarkan secara langsung,  #jomchat2018 di Utusan Online, Isa yang menampilkan single pertamanya berjudul Syurga Yang Sempurna, menaruh segunung harapan untuk diterima peminat.

 

Namun begitu bagi Ewal dan Isa, kualiti merupakan keutamaan mereka dalam menghasilkan sesuatu kerja (nyanyian atau pun lakonan) kerana lambakan kuantiti tidak akan menjamin kedudukan mereka sebagai artis yang disegani ramai. - UTUSAN ONLINE