MRT bantu pelajar jimat 10 kali ganda

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pembinaan pengangkutan Mass Rapid Transit (MRT) sepanjang laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) sememangnya mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar di sepanjang laluan terbabit malah kelebihan perkhidmatan begini tidak dapat dinafikan setelah melihat limpahan ekonomi di laluan rel yang lain sebelum ini.

Menariknya laluan MRT SBK ini akan melalui 17 buah sekolah yang ternyata menjadi satu tambah nilai kepada para pelajar untuk berulang alik dari rumah ke sekolah selain jajaran berkenaan turut menerusi institut pengajian tinggi yang berdekatan.

Menurut Ikhwan Hakimi, 19, yang merupakan pelajar di salah sebuah kolej swasta di Kota Damansara, beliau kerap menggunakan MRT memandangkan perkhidmatan itu lebih murah dan menjimatkan selain dia mampu berjimat 10 kali ganda perbelanjaannya sebelum ini.

Katanya, sebelum ini dia terpaksa menggunakan pekhidmatan kereta sewa Grab Car dan Uber untuk ke tempat pengajian bagaimanapun kini dia menggunakan pengangkutan awam itu sepenuhnya berikutan terdapat diskaun 50 peratus kepada mana-mana pelajar yang menggunakan pengangkutan awam itu untuk ke mana-mana destinasi.

“Dulu menaiki Grab saya terpaksa bayar dalam RM6 untuk perjalanan dari rumah saya ke kolej namun jika ikutkan sekarang saya jimat dalam 10 kali ganda daripada perbelanjaan seharian saya untuk ke institut pengajian tinggi.

“Saya selalu menggunakan MRT kerana sangat selesa berbanding bas dan teksi malah kawan-kawan saya turut menggunakan perkhidmatan awam ini sekali gus memudahkan kami pergi dan pulang ke universiti bersama-sama.” ujarnya kepada Utusan Online baru-baru ini..

Sementara itu, bagi pelajar luar negara, Osama Abdul Aziz Madabi, 19, berkata, perkhidmatan MRT ini sangat cekap dan kondusif malah dia mula beralih menggunakan MRT baru-baru ini kerana melihat perkhidmatan itu lebih efisen berbanding bas, teksi mahupun kereta sewa.

Katanya, dia tidak perlu menunggu lama untuk menaiki MRT kerana hanya beberapa minit sahaja jarak antara gerabak yang disediakan lantas memudahkannya untuk ke destinasi pilihannya.

“Saya tinggal agak jauh dengan kawasan universiti jadi saya terpaksa gunakan teksi atau bas bagaimanapun baru-baru ini setelah mengira keseluruhan perbelanjaan saya mampu jimat 60 peratus jika menaiki MRT.

“Faktor masa turut mempengaruhi untuk memilih MRT apatah lagi pelajar seperti saya. Jika perkhidmatan awam lain, saya perlu tunggu lama tetapi dengan MRT saya tidak perlu takut jika terlambat untuk ke kelas kerana MRT sentiasa ada,” ujarnya.

Manakala seorang lagi pelajar kolej swasta, Kamarul Ibrahim, 21, berkata, MRT merupakan perkhidmatan utama dia untuk ke mana-mana biarpun pada waktu puncak memandangkan pengangkutan awam itu tetap konsisten seperti yang dijadualkan.

Menurutnya, MRT melalui laluan di bandar-bandar utama yang sekaligus memudahkannnya untuk ke tempat kerjanya.

“Saya kerja separuh masa di Damansara justeru saya memang menggunakan MRT ini sepenuhnya untuk ke tempat kerja memandangakn lebih jimat dan pantas,” ujarnya.

“Sebelum ini saya tidak pernah menggunakan MRT memandangkan hostel koelej terletak berhampiran namun saya lihat ianya sungguh efisien, tiga minit sekali. Pastinya memudahkan orang ramai khususnya seperti saya untuk pergi dan pulang ke destinasi di sekitar bandar ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE