Maritim Malaysia kaji pinda undang-undang

KUALA LUMPUR 8 Nov. — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang mengkaji untuk memindahkan undang-undang terhadap nelayan asing yang menceroboh masuk perairan negara memandangkan undang-undang yang sedia ada dilihat belum cukup menggerunkan mereka. Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pindaaan hukuman itu adalah dengan memasukkan hukuman penjara sebagai subjek utama terhadap mereka yang ditangkap melakukan jenayah itu.

“Hukuman yang sedia ada sekarang hanyalah berbentuk denda iaitu maksimum RM1 juta dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dipenjarakan tidak melebihi enam bulan. Dalam pindaan baharu ini, kita sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman penjara terhadap mereka yang didapati bersalah,” katanya kepada Utusan Online selepas mengadakan kunjungan hormat bersama 18 lagi pegawai Maritim Malaysia ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkifli Hamzah; Penolong Pengarang Utusan Malaysia/Berita, Zulkiflee Bakar; Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail dan Ketua Meja Jenayah, Azian Aziz. 

Baru-baru ini dilaporkan, Malaysia mengalami kerugian antara RM3 bilion dan RM6 bilion setahun akibat hasil lautannya dirompak nelayan asing yang  menceroboh perairan negara. 

Zulkifli menjelaskan, hukuman dan undang-undang negara yang tidak seketat negara-negara jiran seperti Indonesia menyebabkan perairan Malaysia terutamanya Laut China Selatan menjadi destinasi pilihan kepada nelayan warga asing terutamanya dari Vietnam. 

Bagaimanapun katanya, pindaan undang-undang itu perlu berlandaskan kepada garisa panduan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa. 

Katanya, pencerobohan nelayan asing itu bukan sahaja mengaut hasil perikanan negara malah turut merosakkan kekayaan ekosistem lautan di Malaysia.

Selain itu kata beliau, Maritim Malaysia juga juga mengesan aktiviti kolaborasi antara nelayan tempatan dan nelayan antarabangsa menerusi pengklonan dokumen dan bot. 

“Ini bermakna, bot asing beroperasi di perairan negara dengan menggunakan dokumen dan nombor pendaftaran tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli mendedahkan beberapa pegawai Maritim Malaysia lagi termasuk mereka yang berpangkat tinggi sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam aktiviti pencerobohan perairan negara. 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka kerana dikhuatiri menganggu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada SPRM untuk tindakan seterusnya. 

“Saya tidak boleh dedahkan secara mendalam, biar SPRM melakukan tugas dan kita di Maritim Malaysia akan sentiasa berkerjasama dengan agensi itu,” katanya.

Baru-baru ini, enam pegawai Maritim Malaysia termasuk seorang pegawai Jabatan Perikanan Malaysia dikesan menerima rasuah daripada orang tengah agar tiada tindakan diambil terhadap bot nelayan asing. 

Hasil operasi bersepadu itu, kesemua penjawat awam itu termasuk orang tengah iaitu seorang wanita bergelar ‘Datuk’ yang dipercayai dalang utama mengagihkan wang rasuah ditahan dalam operasi tersebut di Pahang.