M2 Coupé kompak terbaharu taruhan BMW

KUALA LUMPUR 2 Mac - BMW Malaysia hari ini melancarkan jentera terbaharu mereka, M2 Coupé juga sempena Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2016.

Jentera kompak sukan BMW M2 Coupé ini merupakan kereta premium yang dijanakan dengan enjin 3.0 liter enam silinder dan mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer dalam tempoh 4.3 saat.

Menurut Ketua Jualan BMW Malaysia, Raymond Tan, apa yang menarik mengenai kereta ini ialah, ia dilengkapi dengan pakej BMW Efficient Dynamics yang komprehensif untuk mengurangkan penggunan bahan api dengan hanya 7.9 liter per 100 kilometer.

"BMW M2 Coupé hanya dihasilkan beberapa unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia dan peminat jentera BMW di Malaysia boleh mendapatkan jentera ini dengan harga RM498,800 tidak termasuk insurans.

"Namun apa yang menarik, bakal pemilik BMW M2 Coupé akan menerima jaminan perbatuan tanpa had selama 5 tahun, program servis berjadual percuma dan program jaminan tayar," katanya. - UTUSAN ONLINE