LIMA 2015: Pesawat A400M TUDM jadi tumpuan

LANGKAWI 17 Mac - Pesawat generasi baharu, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Airbus A400M, yang baru tiba di ibu negara pada Ahad lalu, menjadi perhatian utama Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 2015), yang dibuka di sini hari ini.

A400M melakukan aksi pertamanya dengan membuat lintas udara semasa upacara perasmian yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Aksi sulung A400M itu mendapat perhatian langsung dari hadirin.

Najib turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat serta melihat sendiri pesawat buatan Airbus tersebut.

Pesawat A400M berlepas dari Seville, Sepanyol pada 12 Mac 2015, pukul 10.25 pagi waktu tempatan dan tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada Ahad lalu. A400M kemudian diterbangkan ke Langkawi bagi ditontonkan kepada orang awam sempena LIMA 2015.

Pesawat ini merupakan pesawat pertama daripada empat buah pesawat A400M yang telah dibeli oleh Malaysia melalui persetujuan yang telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia dan Airbus Defense Space (ADS) pada 8 Disember 2005.

Tiga buah pesawat lagi bakal diterima secara berperingkat-peringkat dengan dua buah pesawat dijangka tiba hujung tahun ini dan pesawat terakhir akan diterima pada awal tahun depan.

A400M berkeupayaan untuk melaksanakan misi-misi yang merangkumi penugasan berkaitan Medical Evacuation (Medevac), Air to Air Refueling (AAR), Aerial Delivery (Paratroop and Logistic) dan Humanitarian Aid and Disaster Relief (HADR) Operations.

Pesawat A400M mempunyai berkeupayaan untuk mengangkut jumlah kargo yang lebih besar dibandingkan pesawat C130H Hercules yang dimiliki TUDM ketika ini. - UTUSAN ONLINE