LIMA 2015: Malaysia mampu kuasai teknologi aeroangkasa - Dr. Mahathir

LIMA 2015: Malaysia mampu kuasai teknologi aeroangkasa - Dr. Mahathir
oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

LANGKAWI 18 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed hari ini menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran menjadi negara aeroangkasa melalui Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Namun, beliau menjelaskan sasaran untuk menjadi peneraju utama bidang aeroangkasa memerlukan masa untuk dicapai.

“Boleh capai saya ingat tapi kita kena mengambil masa sedikit dan perlu menjadi negara maju 2020. Kalau kita hendak bandingkan dengan Singapura, mereka mempunyai angkatan tentera udara yang terbesar di Asia.

“Singapura mempunyai pesawat-pesawat yang canggih tetapi kita ambil jalan lain iaitu kita lebih menguasai teknologi pembuatan,” jelas Dr. Mahathir yang ditemui media ketika melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 2015) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan LIMA 2015 berkata, Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 akan meletakkan Malaysia sebagai negara utama yang terlibat dalam industri itu di rantau ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut kagum dengan pencapaian LIMA 2015 yang dianggap telah mencapai kejayaan besar sejak penganjurannya

“Ini LIMA yang terbesar sejak kita anjurkan. Apa yang menarik ialah syarikat-syarikat Malaysia boleh dikatakan setengah daripada pempamer di sini. Ini menunjuk kemajuan yang telah dicapai berbanding ketika LIMA dimulakan tidak ada satu syarikat tempatan pun yang mengambil bahagian.

“Kita sudah maju dalam bidang elektronik, kawalan kapal terbang dan macam-macam bidang teknologi tinggi yang sudah tentu dikuasai rakyat Malaysia,” jelas Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir turut menegaskan usaha Malaysia untuk mempertingkat teknologi ketenteraan negara bukan disebabkan untuk berperang dengan negara lain.

“Kita mempertingkat teknologi angkatan tentera bukan kerana nak berperang dengan orang. Supaya kita menguasai teknologinya dan kita tak ketinggalan di belakang.

“Kalau kita nak berlumba-lumba dengan negara lain kosnya amat tinggi sedangkan alat yang kita beli kita mungkin tak guna langsung kerana kita tidak berperang dengan sesiapa,” kata Dr. Mahathir. - UTUSAN ONLINE