LIMA 2015: Kenderaan tanpa pemandu pantau keselamatan

LIMA 2015: Kenderaan tanpa pemandu pantau keselamatan
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

LANGKAWI 19 Mac - Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 2015) dilihat sebagai platform terbaik kepada agensi dan syarikat tempatan memperkenal peralatan dan teknologi yang dibangunkan oleh mereka.

Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi untuk Pertahanan (Stride), sebuah agensi bawah Kementerian Pertahanan, misalnya menonjolkan dua kenderaan tanpa pemandu atau berautonomi yang dibangunkan dengan teknologi tempatan bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Ketua Pengarah Stride, Ismail Mat Daud berkata, satu kenderaan atas darat berautonomi bagi pemantauan keselamatan di darat yang dikenali sebagai Land Base Autonomous Ground Vehicle for Militari Application (Landarc), manakala sebuah kenderaan atas air berautonomi (USV).

“Sebelum projek ini bermula kita telah lakukan penyelidikan terhadap keperluan yang telah dimaklumkan oleh pihak pengguna. Pengkomersialan kedua-dua teknologi ini bergantung kepada syarikat pertahanan tempatan yang berminat.

“Landarc dibangunkan dengan kos RM250,000 manakala USV pula menelan kos RM200,000,” kata Ismail.

Sementara itu, Pengawai Penyelidik Landarc, Aizul Fazli Suhaimi berkata, peralatan berkenaan telah menarik minat beberapa syarikat dari Eropah dan China.

“Setakat ini, beberapa negara dari Eropah dan China telah menunjukkan minat mengenai peralatan ini. Kita akan lihat untuk memasarkan peralatan tersebut,” kata Aizul Fazli.

Menurut beliau, Landarc merupakan hasil penyelidikan dan inovasi 20 orang pakar tempatan selama tiga tahun.

“Kita juga boleh meletakkan sejata berat di atas Landarc. Kita telah membuat ujian dan simulasi menggunakan sistem persenjataan yang sama oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ujian ini menunjukkan kejayaanya,” kata Aizul Fazli.

Sementara itu Pegawai Penyelidik USV, Nur Afande Ali Hussain berkata, kenderaan atas air berautonomi tersebut dibangunkan selama dua tahun oleh sepuluh tenaga pakar tempatan.

“USV boleh diguna di kawasan laut, tasik dan sungai. Peralatan ini boleh digunakan bagi tujuan pemantauan kualiti air, dilengkapkan dengan GPS dan juga boleh digunakan untuk pemetaan bawah air dengan pembinaan imej.

“USV juga boleh digunakan bagi misi mencari dan menyelamat,” terang Nur Afande. - UTUSAN ONLINE