LIMA 2015: Agensi berkaitan maritim bersatu banteras pengganas

LIMA 2015: Agensi berkaitan maritim bersatu banteras pengganas 
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

LANGKAWI 20 Mac - Agensi-agensi berkaitan keselamatan maritim kini meningkatkan kerjasama bagi membanteras aktiviti pengganas di perairan negara.

Laksamana Pertama Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Saifuddin Kamaruddin berkata, setiap agensi berkaitan maritim tidak boleh lari daripada bekerjasama antara satu sama lain dalam menentang aktiviti militan yang didapati semakin meningkat.

"Kita tidak boleh lari daripada bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan juga TLDM.

"Apa yang penting adalah peranan utama mengempur aktiviti pengganas tetap ditanggung oleh TLDM kerana kita memiliki aset-aset yang mencukupi, besar dan boleh beroperasi di kawasan luar pantai," jelas Saiffudin.

Saifuddin ditemui selepas menyaksikan demonstrasi menentang pengganas sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di Resort World di sini hari ini. Demonstratsi tersebut melibatkan anggota dan aset daripada Jabatan Laut, APMM dan TUDM.

Jelas Saifuddin, demonstrasi berkenaan mendedahkan kepada orang ramai mempunyai fungsi setiap agensi maritim negara dalam bertindak dan memainkan peranan untuk menjamin perairan negara sentiasa selamat setiap masa. - UTUSAN ONLINE