Lebih 8,000 hadiri Lan Berambeh Anak Sarawak 2018

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Lebih 8,000 anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung memeriahkan program Lan Berambeh Anak Sarawak 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg berkata, program yang diadakan sejak 2008 ini adalah untuk berkongsi maklumat anak-anak Sarawak sama ada yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung Malaysia memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

 

“Hasrat kita adalah hendak memaklumkan kepada anak Sarawak di Semenanjung Malaysia tentang kemajuan dan perkembangan yang dibawakan oleh kerajaan negeri termasuk berkongsi maklumat berhubung peluang pendidikan atau pekerjaan.

 

“Kita mahu mereka yang duduk di semenanjung mendapat pencerahan yang tepat menerusi pameran dan gerai yang disediakan bukannya menerusi media sosial semata-mata,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Lan Berambeh Anak Sarawak 2018 di sini hari ini.

 

Majlis makan malam itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurd.

 

Turut hadir pada malam itu ialah Pengerusi Lan Berambeh Anak Sarawak 2018, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Koordinator Ruang Pameran program tersebut, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

 

Dalam majlis yang sama, Abang Johari turut melancarkan satu aplikasi mudah alih dikenali Sarawak Pavilion bagi menghubungkan usahawan -usahawan Sarawak kepada pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

Program sehari suntuk itu dimulakan dengan Konvensyen Anak Muda Sarawak 2018 serta Forum Perlembagaan

Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

 

Bertemakan ‘Kamek Sayang Sarawak’, ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2018’ menyediakan 70 gerai dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam, dengan 34 daripadanya melibatkan kementerian, persatuan dan juga kaunter perkhidmatan.

 

Manakala, selebihnya 36 gerai membabitkan golongan usahawan yang terdiri daripada 21 usahawan dari Sarawak dan 15 usahawan anak-anak Sarawak di Semenanjung Malaysia.- UTUSAN ONLINE