Kunci keteguhan kumpulan Pretty Ugly

KUALA LUMPUR - Mula berjinak dalam bidang seni muzik pada tahun 1997, empat anak muda ini pada ketika itu mencari punca untuk mengangkat muzik mereka masuk ke dalam arus perdana. Setelah bertemu dan berbincang dengan pihak pengurusan KRU Records, nama asal kumpulan Seven ditukar kepada Pretty Ugly dan salah seorang daripada anggota asal dalam kumpulan itu, digantikan dengan yang baharu. Hari ini, Pretty Ugly tetap berdiri kukuh dengan Neves Cugat sebagai vokalis. Beliau jugalah yang mencipta lagu-lagu hits yang dimuatkan dalam empat album kumpulan Pretty Ugly. Selain itu, Neves yang kini berusia 44 tahun, juga boleh bermain alat muzik termasuk gitar.