Kapal pembinasa Roks Dae Jo Yong hiasi LIMA 2015

Kapal pembinasa Roks Dae Jo Yong hiasi LIMA 2015 
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

LANGKAWI 20 Mac - Kapal pembinasa milik Korea Selatan, Roks Dae Jo Yong adalah antara 65 buah kapal perang dan vessel dari 12 buah negara yang mempamerkan aset tentera laut masing-masing pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 ini..

Kapal Roks Dae Joyong memasuki perkhidmatan pada tahun 2005 dan mempunyai keupayaan untuk peperangan antipermukaan, antikapal selam dan antiudara. 

Turut dipamer adalah kapal pembinasa laju milik Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia, KRI Kujang yang mula memasuki perkhidmatan pada 2012. Kapal pembinasa ini berkeupayaan untuk peperangan antipermukaan dan antiudara.

Malaysia yang diwakili Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut dan Polis Marin turut mempamerkan aset masing-masing.

Turut dipamerkan adalah kapal selam milik negara, Tunku Abdul Rahman yang mendapat perhatian masyarakat.

Apa yang pasti LIMA edisi ke-13 ini benar-benar menambah pengetahuan pengunjung. 

"Pengalaman yang menarik ini saya bertemu dengan salah seorang peminat yang menghadiri sejak pertama kali diadakan pada tahun 1993. Dia banyak menerangkan kapal-kapal yang berada di sini. Bagi saya kapal Korea Selatan yang berada di pelabuhan ini adalah sesuatu yang menakjubkan. 

"Begitu juga dengan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman. walaupun sedikit dukacita kerana tak dapat masuk ke dalam dek kapal tapi saya berpuas hati dapat melihat kapal kebanggaan negara dengan lebih dekat," kata Mazli AM 

Isteri beliau, Haslina Mohd. Shamsuddin berkata, melihat sendiri aset yang dipamerkan lebih memberi kepuasan daripada hanya membaca di Internet atau melihat di TV.

"Kita datang tengok kapal-kapal ini semua memang menariklah. Kita patut ambil tahu benda-benda macam ini. Kita tak boleh hendak membayangkan dan dengan bantuan pembacaan dan melihat sendiri depan mata mendatangkan pemahaman yang lebih," kata Haslina.

Pengunjung yang hadir pada pameran maritim yang diadakan di hadapan Resort World di sini tidak dikenakan sebarang bayaran.

Setiap hari 28 bot pelbagai kelas daripada TLDM, PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan demonstrasi sepanjang LIMA 2015 berlangsung. - UTUSAN ONLINE