JMM rangka 133 program tarik lebih ramai pengunjung

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah merangka 133 program untuk menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke muzium seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Mohd. Azmi Mohd. Yusof berkata, antara fokus utama JMM program tersebut adalah memartabatkan semula muzium dengan menjadikannya sebagai satu daripada platform pembelajaran kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Kita mahu memberi pendidikan melalui muzium kerana terdapat banyak disiplin pembelajaran secara nyata yang boleh dipelajari pelajar seperti sains, biologi, sejarah dan sebagainya,

“Jika dahulu, pameran di muzium mungkin sering dikaitkan dengan fokus terhadap sejarah semata-mata tetapi kali ini banyak tarikan baharu yang mampu menarik perhatian pelajar ketika datang ke sini,” katanya selepas melakukan lawatan bersama pegawai JMM ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, berdasarkan statistik JMM tahun lepas, seramai 3.2 juta pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke muzium berbanding 3.1 juta pada 2017.

Katanya, melihat kepada peningkatan tersebut, beliau menyasarkan penambahan 100,000 pengunjung yang akan melawat muzium seluruh negara pada tahun ini.

Sementara itu, Mohd. Azmi berkata, JMM memberi peringatakn kepada pihak yang ingin menubuhkan muzium persendirian mahupun swasta untuk memastikan agenda penubuhannya tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

Katanya,  hal itu bagi memastikan tiada unsur-unsur negatif dipamerkan secara terbuka yang dikhuatiri menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Kita akan mengambil tindakan mengikut akta yang sesuai sekiranya ada muzium persendirian dan muzium swasta melanggar peraturan yang ditetapkan khususnya dalam isu melibatkan sensitiviti masyarakat dalam negara.

“Setakat ini kita belum menerima maklumat berkenaan muzium swasta dan persendirian yang mempunyai agenda negatif kerana JMM sentiasa membuat tapisan terhadap permohonan untuk menubuhkan muzium mengikut prosedur sedia ada,” katanya.