Janna Nick anak emas Hikayat Records?

SHAH ALAM 23 Feb. - Pelakon drama Kau, Aku Kita dan pendukung salah satu watak dalam teater Zombie La La La, Janna Nick mencuba bakat sebagai penyanyi menerusi single pertamanya berjudul Mungkin Saja. 

 

Pada majlis pelancaran single tersebut, Janna atau pemilik nama sebenar, Nurul Jannah Muner, 21, berkata, cubaan pertamanya untuk melahirkan sebuah single adalah sebagai memenuhi permintaan para peminatnya yang mengikuti perkembangan karier seni lakonnya.

 

Pada majlis pelancaran single sulung Janna hari ini, beliau berkata, lagu ciptaan Kunci Demak itu lebih ke arah percubaan dan bukan ujian ke atas vokal.

 

Bagaimana pun kata Janna, beliau tidak mengambil mudah untuk tampil sebagai penyanyi sebaliknya mendapat bimbingan daripada seorang guru vokal yang namanya dirahsiakan.

 

Pada majlis pelancaran single Janna itu, pihak label, Hikayat Records turut mengambil kesempatan memperkenal tiga lagi artis. Mereka ialah Akil, Daya dan Tengku Suhaila.

 

Pada majlis sidang akhbar, Pengarah Urusan Hikayat Records, Farah Mohamad berkata, pihaknya yakin kesemua artis Hikayat mempunyai suara yang sedap dan keunikan tersendiri.

 

Mengakui Janna sebagai 'anak sulung' Hikayat Records dan menolak tanggapan Janna sebagai anak emas, Farah berkata, pihaknya mempunyai strategi pemasaran yang tidak boleh dihebahkan kepada umum dalam mempromosikan keempat-empat artis mereka.

 

"Mana-mana label company pun melakukan cross promotion dan yang penting kita mahu kembangkan bakat yang ada dalam diri setiap artis Hikayat Records secara total," katanya. 

 

Beliau berkata, setiap artis Hikayat Records digalakkan berkarya dengan menghasilkan lagu dan lirik sendiri. - UTUSAN ONLINE