JKDM gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM2.34 juta

SEREMBAN 20 Nov. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan mematahkan cubaan menyeludup tiga juta batang rokok jenama Canyon bernilai RM2.34 juta ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kesemua rokok itu dirampas dalam satu serbuan di gudang Penerbangan Malaysia (MAS) Kargo di lapangan terbang berkenaan pada pukul 6 petang, 13 November lalu.

“Nilai keseluruhan rokok yang dirampas ditaksirkan berjumlah RM240,000 dengan melibatkan cukai sebanyak RM2.1 juta.

“Semua rokok tersebut diikrarkan sebagai barangan campuran bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Ia diseludup dari Ho Chi Minh, Vietnam menggunakan pesawat EVA AIR dipercayai untuk pasaran di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE