Dr.Vida hampir ditipu scammer

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida atau lebih dikenali dengan Dr.Vida mendakwa hampir ditipu scammer melalui panggilan telefon yang meminta wang RM30,000 di kediamannya di Ipoh.

Dr.Vida berkata, panggilan yang diterima sekitar pukul 12.45 tengah hari semalam mengatakan akaun bank disekat kerana mengaitkan dirinya dengan kegiatan mengedar dadah.

“Perbualan hampir dua jam itu tidak membuatkan saya mengesyaki apa-apa kerana talian yang tertera memang betul sama ada dari IPK ataupun daripada pihak bank serta setiap data peribadi yang dimaklumkan juga tepat.

“Namun, bila dia mengaitkan saya dengan dadah saya terpaksa mengaku yang saya ni Datuk Seri Vida dan terus menghubungi peguam saya,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang semalam.

Selepas menghubungi peguam peribadi, barulah beliau tahu yang menghubunginya adalah scammer.

Dr.Vida turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mendedahkan data peribadi sewenang-wenangnya.

Beliau juga berharap pihak polis menjalankan siasatan dan melupuskan jenayah scammer agar tidak mahu lebih ramai ditipu dan terpedaya dengan helah orang yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang dengan mudah. - UTUSAN ONLINE